AM > BERITA

PEMANGKU SULTAN JOHOR KECEWA BERLAKU GANGGUAN BEKALAN AIR PADA AIDILFITRI

09/05/2024 03:37 PM

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa berikutan isu gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Baginda bertitah mahukan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat dan agensi terlibat sekiranya perkara sama berulang.

"Perkara ini (gangguan bekalan air) tidak boleh berlaku lagi pada masa akan datang. Jika berlaku lagi, saya menitahkan kerajaan negeri agar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap syarikat dan agensi terlibat.

"Saya ingin tegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Gangguan bekalan air yang berlaku di Kluang dan Kulai bulan lepas telah menjejaskan persiapan lebih 1,000 penduduk untuk menyambut hari raya.

Sementara itu, Pemangku Sultan Johor turut menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil mudah terhadap isu sensitiviti melibatkan agama demi menjaga keharmonian di negeri ini.

Baginda juga menitahkan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan bagi membendung perkara yang mengganggu keharmonian masyarakat daripada berulang.

"Ini merupakan peringatan pertama dan saya harap yang terakhir. Jangan diulang perbuatan sama yang hanya akan meruntuhkan keharmonian bermasyarakat di Johor. Jangan sesekali gunakan agama sebagai politik," titah Tunku Mahkota Ismail.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan