AM > BERITA

'SHARK' TERBANG UKRAINE DIPAMERKAN DI DSA, NATSEC 2024

09/05/2024 03:05 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pesawat tanpa pemandu (unmanned aerial system = UAS) Ukraine, 'Shark', yang kini digunakan dalam konflik di negara itu, dipamerkan pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini. 

Menyerupai jerung (shark), UAS itu direka bentuk oleh syarikat Ukraine, UkrSpecSystems, dan digunakan antaranya untuk peninjauan dan pemetaan ruang udara.

"Shark dan Mini Shark sangat efektif. Kebanyakan produk ini digunakan oleh tentera Ukraine," Timbalan Pengarah Executive Industri Pertahanan Ukraine, Andrii Mygas memberitahu Bernama ketika ditemui di Pavilion Ukraine di pameran itu di sini hari ini.

Shark, menurutnya, mempunyai kemampuan beroperasi hingga ketinggian 2,000 meter (m) serta kamera yang boleh menjejaki hingga 5,000m

Mygas berkata selain itu, UAS itu juga mampu terbang dengan kelajuan 150 kilometer sejam untuk 240 minit.

Pavilion Ukraine turut menampilkan produk-produk ketenteraan dan pertahanan buatan negara itu yang lain, yang telah diuji dan terbukti berkesan di medan tempur. 

Hampir 50 syarikat terlibat dalam pameran itu yang merupakan pengeluar produk ketenteraan seperti kenderaan berperisai, sistem peperangan elektronik, dron dan sistem antidron, serta turut dipamerkan replika kenderaan pelancar roket, Vilkha; kenderaan berperisai pengangkut anggota, Kamrat-M; dan peranti anti-UAV elektronik mudah alih Kvertus AD G-6+.

Bagaimanapun, menurut Andrii produk-produk tersebut bukan untuk dieksport susulan permintaan tinggi di tanah air mereka.

Mengulas kehadiran Ukraine di pameran DSA dan NATSEC 2024, Andrii menyifatkan acara itu sebagai platform penting bagi Ukraine menunjukkan penentangan dan perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan.

"Kami mempunyai sokongan besar daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan banyak negara seperti Jerman, Kanada dan Australia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan