AM > BERITA

MALAYSIA HARUS REBUT PELUANG UNTUK LAKUKAN PEMBAHARUAN DALAM PENYELIDIKAN KLINIKAL - PM

09/05/2024 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia harus merebut peluang, berusaha untuk melakukan pembaharuan, dan menghapuskan halangan kepada penyelidikan klinikal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia adalah cara untuk menjadikan penyelidikan klinikal negara terus bergerak maju, dan ia mesti diterjemahkan dalam bentuk kemudahan menjalankan perniagaan, dengan menambah baik garis masa dan mengurangkan proses birokrasi yang tidak perlu, dan pada masa yang sama mengekalkan kualiti dan standard kita.

“Peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dan peraturan serta dasar dikemas kini untuk kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

“Kerajaan Malaysia mengiktiraf perkadaran nilai untuk menjadikan negara ini hab percubaan klinikal global, serta kualitatif sumbangannya kepada penjagaan kesihatan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada majlis perasmian persidangan CRM Trial Connect 2024 anjuran Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menghargai pelaburan yang dibuat dan sentiasa berusaha untuk memberikan faedah nilai tambah kepada pelabur dalam industri penyelidikan klinikal di negara.

“Pasaran percubaan klinikal global bernilai lebih US$80 bilion pada 2023, dengan unjuran pertumbuhan 6.5 peratus setiap tahun. Separuh daripada jumlah ini kini sangat tertumpu di rantau Asia-Pasifik, terutamanya di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

“Sehubungan itu saya percaya bahawa negara-negara Asia Tenggara kini adalah gergasi yang sedang tidur; kerana secara keseluruhannya, ia adalah salah satu lokasi yang paling pelbagai, dilengkapi dengan tenaga kerja mahir dan infrastruktur sokongan,” katanya.

Beliau berkata apabila industri penyelidikan klinikal berkembang, perkhidmatan sokongan seperti organisasi penyelidikan kontrak (CRO), makmal, kilang pembuatan dan perkhidmatan logistik juga akan menyaksikan perkembangan pesat.

“Di sinilah lebih ramai tenaga kerja mahir diwujudkan untuk menyokong keperluan industri. Kita telah lihat perkara ini di PAREXEL Malaysia, yang menyaksikan Pusat Pengurusan Datanya ditubuhkan untuk menyokong rantau ini.

"Selain itu dengan penubuhan Hematogenix - makmal onkologi pusat dengan Malaysia sebagai satu daripada hanya empat lokasi global - telah menyumbang kepada pengambilan saintis dan bioinformatika di negara ini," katanya.

Beliau berkata nilai sosio-ekonomi yang dibawa oleh penyelidikan klinikal memberi kesan poasitif, dengan lebih 2,700 pekerjaan mahir direkodkan dalam bidang itu tahun lepas.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan