AM > BERITA

CIDB PEROLEH MANFAAT BESAR DARIPADA LANDSKAP PEMBINAAN AUSTRALIA

09/05/2024 10:04 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengenal pasti beberapa bidang kerjasama berpotensi dalam sektor perlombongan dan tenaga Australia, termasuk melibatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bekalan tenaga kerja.

Bidang berpotensi lain yang dikenal pasti adalah pelaksanaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang menurut CIDB ia adalah hasil daripada lawatan kerja serta penyertaan dalam Ekspo Binaan Sydney 2024 di Australia awal bulan ini.

“Objektif penyertaan CIDB dalam Ekspo Binaan Sydney 2024 adalah untuk meneroka teknologi pembinaan khususnya teknologi digital yang boleh dilaksanakan di Malaysia bagi menyokong dan memastikan kejayaan pelaksanaan ‘Construction 4.0’ dalam industri pembinaan. 

“Selain itu, elemen TVET muncul sebagai bidang penting yang memerlukan perhatian, berfungsi sebagai penanda aras untuk meningkatkan tenaga kerja teknikal selaras dengan inisiatif kerajaan,” menurut CIDB dalam kenyataan hari ini.  

Menurut kenyataan itu lawatan kerja rasmi itu merangkumi siri persidangan dan sesi perangkaian dengan kerajaan, agensi dan persatuan di Australia. 

Pada siri persidangan, Ketua Eksekutif CIDB Datuk Mohd Zaid Zakaria turut menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno bertajuk ‘Perniagaan Pembinaan Antarabangsa - Ke Arah Global’.

Lima syarikat berkaitan pembinaan Malaysia menyertai ekspo berkenaan iaitu Gamuda, Manly Tech Malaysia, Sunnik Industrial Panel Tanks, Plytech dan Sudut Swasta yang mewakili pelbagai sektor seperti kontraktor, BIM dan pembekal.  

Inisiatif ini seiring dengan fungsi CIDB di bawah Akta 520 bagi menggalakkan, merangsang dan memudahkan eskport perkhidmatan yang berkaitan dengan industri pembinaan. 

Menurut kenyataan itu menerusi kerjasama dan pertukaran pengetahuan bersama rakan kongsi antarabangsa, CIDB menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran pembinaan global. 

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan