AM > BERITA

KTMB SEDIA DUA ETS TAMBAHAN SEMPENA CUTI SEKOLAH PENGGAL PERTAMA

08/05/2024 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar sempena cuti persekolahan penggal pertama bermula 24 Mei sehingga 3 Jun ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiket tren tambahan itu akan mula dijual pada jam 8 malam esok.

“Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 6,930 termasuk koc kelas perniagaan.

“Para pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan tiket awal dan tidak membeli tiket pada saat akhir bagi mengelakkan kehabisan tiket,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut perkhidmatan ETS tambahan itu akan berlepas dari Padang Besar pada jam 11 pagi dan tiba di KL Sentral pada jam 4.36 petang manakala dari KL Sentral, tren ETS akan berlepas pada jam 5.05 petang dan tiba di Padang Besar jam 10.34 malam.

Kenyataan itu turut memaklumkan penambahan perkhidmatan tersebut adalah bagi menampung permintaan yang tinggi sempena musim cuti persekolahan selain kepada mereka yang ingin pulang ke kampung.

Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media sosial rasmi KTMB,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan