AM > BERITA

SIASATAN POLIS TERHADAP ISU KASINO FOREST CITY BUKAN ARAHAN KERAJAAN - FAHMI

08/05/2024 07:47 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata siasatan terhadap laporan berita mengenai cadangan pembinaan kasino di Forest City, Johor, bukan dibuat atas arahan kerajaan, sebaliknya hasil daripada laporan polis yang dibuat firma guaman mewakili syarikat dikaitkan dalam artikel itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Berjaya Corporation Bhd (Berjaya Corp) melalui firma guamannya yang membuat laporan polis, dan bukannya kerajaan, Kementerian Komunikasi atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyiasat, tapi oleh kerana ada laporan (polis) maka laporan itu diambil oleh polis dan tindakan siasatan dilakukan seperti yang mengikut proses," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 26 April lepas, Berjaya Corp dilaporkan membuat laporan polis terhadap dakwaan artikel sebuah portal berita antarabangsa yang mengaitkan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan terlibat dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka kasino di Forest City.

Susulan itu Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) turut menafikan laporan portal berita berkenaan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan