AM > BERITA

KAJIAN TEROKA POTENSI POKOK TURI JADI BAJA DAN MAKANAN TERNAKAN

08/05/2024 05:47 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

HAINAN (CHINA), 8 Mei (Bernama) -- Pokok Sesbania atau turi, sejenis tumbuhan daripada keluarga fabaceace atau kekacang yang banyak tumbuh di kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia dikenal pasti berpotensi sebagai baja organik selain menjadi makanan ternakan yang berkhasiat tinggi.

Penemuan terbaharu itu hasil kajian yang dilakukan sepasukan penyelidik dari Makmal Industri Benih Provinsi Hainan, di sini sejak 10 tahun lepas.

Pegawai penyelidik makmal Dr Wang Fuqian berkata 400 jenis tumbuhan termasuk Sesbania telah dikaji dan ditanam pada tanah yang mengandungi garam yang tinggi, berasid serta beralkali, namun mendapati Sesbania sebagai spesies terbaik yang mampu bertahan dalam cuaca tropika di Hainan.

"Kami menjalankan penyelidikan tentang Sesbania dan setelah menggunakan benih Sesbania kami dapati jumlah nitrogen dan karbon organik dalam tanah telah meningkat sekali gus menyuburkan tanaman pertanian, ini juga secara tidak langsung mengurangkan penggunaan baja kimia pada tanaman itu.

"Pada tahun lepas kami mencuba menanam bawang serta Sesbania secara giliran di satu kawasan di Provinsi Shandong dan kami mendapati jumlah pengeluaran bawang meningkat berbanding tanaman sebelum tanpa penggiliran antara bawang dan Sesbania," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan wartawan daripada 11 media utama dari sembilan negara ASEAN yang mengikuti program Kenali Hainan 'China Up Close' anjuran Kumpulan Media China  di sini baru-baru ini.

Wang berkata penggunaan tanah secara berterusan di satu-satu kawasan akan menjejaskan kesuburan tanah berkenaan, namun jika pokok Sesbania ditanam dan apabila mencapai usia matang ia dikambus pada tanah menggunakan mesin, ia dapat membantu menambah nitrogen dalam tanah itu yang akan memberi manfaat untuk tanaman seterusnya.

Selain meningkatkan kesuburan tanah, beliau berkata penyelidikan terhadap tumbuhan renek yang hidup subur di kawasan panas dan lembap itu turut dikembangkan untuk makanan ternakan bagi menyelesaikan kekurangan bahan berkenaan di China serta kebergantungan kepada bahan makanan ternakan import.

"Kekurangan pokok Sesbania ini batangnya keras tidak sesuai untuk dijadikan makanan ternakan... jadi penyelidikan yang dilakukan turut menumpukan usaha menjadikan pokok ini lebih lembut seperti alfalfa agar sesuai untuk dimakan haiwan ternakan kerana di dalam kandungan Sesbania kaya dengan sumber protein," katanya.

Wang yang berpengalaman lebih 10 tahun di pusat kajian itu berkata tumbuhan seperti alfalfa selalu digunakan sebagai makanan ternakan seperti lembu dan kambing kerana kandungan proteinnya tinggi, namun tumbuhan biasa yang dijadikan makanan ternakan di China kurang kandungan sumber berkenaan.

Menurut Wang, Makmal Industri Benih itu juga giat mengkaji dan membangunkan spesies benih baharu Sesbania melalui proses kacukan bagi menghasilkan benih yang lebih baik serta sesuai ditanam di bahagian selatan China seperti di Hainan dan di bahagian utara China yang kedua-dua kawasan itu berbeza cuaca dan keperluannya.

Selain itu, pihaknya juga sedang mencari rakan kerjasama bagi membangunkan teknologi pembenihan itu dan mengadakan perbincangan dengan Pusat Pertanian Tropika Antarabangsa (CIAT) bagi membentuk bank benih Sesbania meliputi pelbagai spesies dari seluruh dunia. 

"Kami juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan negara ASEAN termasuk Malaysia kerana kajian ke atas Sesbania yang kami lakukan ini lebih sesuai ditanam di negara ASEAN berbanding negara-negara lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan