AM > BERITA

CHINA DAILY ASIA PACIFIC BERHASRAT JALIN KERJASAMA DENGAN BERNAMA

08/05/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- China Daily Asia Pacific, saluran media terkemuka di China, berhasrat menjalin hubungan kerja dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada masa akan datang, dalam usaha menyebar luas maklumat dan berita di Malaysia dan China, termasuk di Hong Kong.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata perkara itu dinyatakan delegasi China Daily Asia Pacific ketika mengunjungi Wisma Bernama di sini hari ini, sempena lawatan mereka bagi meraikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang memasuki ulang tahun ke-50.

“Lawatan mereka antaranya adalah bagi mencari jalan bagaimana China Daily dapat bekerjasama dengan Bernama, kerana Bernama merupakan satu platform media di Malaysia yang dianggap sebagai pertubuhan berita yang paling dipercayai dalam negara.

“Mereka juga ada berbincang mengenaj isu berita palsu kerana ini masalah besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain, dan ini antara tugas Bernama untuk menanganinya (isu berita palsu). Mereka amat kagum dengan Bernama,” katanya ketika ditemui selepas sesi kunjungan 10 delegasi China Daily Asia Pacific itu di ibu pejabat Bernama di sini.

Antara anggota delegasi itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan China Daily Zhou Li; Penolong Penerbit China Daily Asia Pacific Sheila Shi serta dua wakil Ahli Majlis Perundangan Hong Kong Dominic Lee Tsz King dan Lam Lam Nixie.

Mengulas lanjut Wong berkata delegasi berkenaan turut kagum terhadap Bernama yang menyediakan saluran berita selain Bahasa Melayu iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab.

“Mereka berkata ini adalah sesuatu yang diharapkan mereka untuk difahami dengan lebih baik. Mereka agak kagum dengan kemampuan ini (saluran berita dalam beberapa bahasa)… Bagi mereka yang datang buat kali pertama (ke Bernama), ini adalah sesuatu yang baharu,” katanya.

Mengenai kaedah hubungan kerja yang ingin dilaksanakan, beliau berkata kerjasama antara China Daily Asia Pacific dan Bernama dijangka dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Disember lepas Bernama dan Agensi Berita China Xinhua (Xinhua) mengukuhkan jalinan dengan memperbaharui Kerjasama dan Perjanjian Pertukaran Berita, selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang disambut tahun ini.

Sementara itu Dominic Lee berkata hasrat menjalinkan serta memperkukuh kolaborasi antara China Daily Asia Pacific dan Bernama dalam aspek media yang dibincangkan adalah mengenai cara memastikan lebih banyak berita mengenai Malaysia, China khususnya Hong Kong, dikongsikan kepada penduduk di kedua-dua negara.

“Kami dapati banyak berita dari Hong Kong tidak mendapat liputan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Jadi kami merasakan bahawa dengan meningkatkan hubungan antara kita, kami boleh memberikan maklumat yang lebih tepat kepada Bernama.

“Semoga penduduk Malaysia akan dapat memperoleh lebih banyak berita mengenai Hong Kong, dan penduduk Hong Kong pun boleh menerima lebih banyak berita mengenai Malaysia,” katanya. 

Dominic Lee turut berkata Bernama merupakan platform yang berbeza berbanding organisasi media lain di Malaysia memandangkan agensi berita itu merupakan media utama yang mewakili kerajaan.

“Bernama memberikan maklumat secara langsung daripada kerajaan dan ia menjadikan Bernama sebagai sumber yang sangat sah, menyalurkan maklumat kepada media lain, dan ia adalah hubungan yang sangat berbeza antara Bernama dan media lain. Jadi adalah satu pengalaman hebat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara Bernama beroperasi.

“Bernama juga mempunyai seorang pengerusi (Wong) cukup berkarisma, yang menerangkan kepada kami (semasa lawatan) bagaimana Bernama berfungsi, termasuk dengan teknologi baharu, contohnya AI (kecerdasan buatan) yang agak membantu aliran kerja,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu antaranya Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Ravichandran DJ Paul.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan