AM > BERITA

MAJLIS ULAMA ASIA MAIN PERANAN PENTING PUPUK KESEDERHANAAN - TPM AHMAD ZAHID

08/05/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesederhanaan dengan menawarkan tafsiran seimbang terhadap teks agama, menyokong toleransi dan membimbing umatnya ke arah jalan tengah yang mengelakkan ekstremisme sambil menekankan keseimbangan spiritual.

Dalam ucapan khas di persidangan Majlis Ulama Asia 2024 hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis itu juga secara aktif menentang ideologi ekstremis, di samping memupuk perpaduan sosial melalui dialog dan kerjasama dalam kalangan pelbagai kumpulan.

“Penglibatan dengan penggubal dasar adalah penting untuk menyokong dasar-dasar yang berasaskan nilai Islam sederhana, meletakkan sasaran kearah masyarakat yang inklusif dan saksama.

“Semasa kita mengakhiri persidangan ini, mari kita komited semula untuk menegakkan nilai ihsan, toleransi dan empati dalam semua interaksi, menjadi contoh cemerlang kesan positif dialog dan kerjasama,” katanya hari ini.

Persidangan anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL) itu dirasmikan oleh Ahmad Zahid di hadapan Setiausaha Agung MWL dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Syeikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa.

Ahmad Zahid berkata penyertaan aktif, pertukaran idea dan perhubungan baharu semasa persidangan itu menggariskan potensi kerjasama dalam menangani cabaran global yang hadapi umat Islam.

Beliau turut mengalu-alukan para perwakilan untuk meneruskan semangat kerjasama dan dialog melangkaui perhimpunan, merentasi sempadan untuk memupuk keamanan dan saling menghormati.

Menurutnya pelan tindakan serantau adalah penting untuk menggalakkan perpaduan, keharmonian, dan memerangi kezaliman, penindasan serta kebencian, dan program ini sepatutnya memudahkan perbincangan dalam kalangan ulama dan pemimpin untuk mencapai matlamat berkenaan.

Dalam aspek tempatan, Ahmad Zahid berkata Malaysia komited membangunkan Malaysia MADANI untuk memastikan kestabilan melalui nilai dan perpaduan dalam kalangan pelbagai masyarakat berdasarkan kepada kemampanan, ihsan, saling menghormati, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan.

Beliau berkata nilai-nilai itu bukan hanya untuk rakyat Malaysia sahaja, tetapi (ia) aspirasi sejagat untuk keamanan dan keharmonian kerana perpaduan antara negara harus melangkaui sempadan.

“Ukhuwwah Islamiyah merentasi sempadan, menerima perbezaan kaum dan budaya tanpa diskriminasi berdasarkan warna kulit atau bahasa.

“Perpaduan pemikiran, hati dan tindakan adalah penting untuk kestabilan dan daya tahan. Prinsip kita bersama daripada al-Quran dan as-Sunnah, membimbing kita ke arah mencari keredaan Allah,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sheikh Mohammad atas sokongan yang tidak ternilai dalam menganjurkan persidangan itu.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghormatan yang tidak terhingga kepada semua ulama Asia, terhadap usaha dan dedikasi anda dalam mencurahkan khidmat bakti kepada agama dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur utama, Jakim dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan persidangan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan