AM > BERITA

IKIM ANJUR PERBINCANGAN MEJA BULAT CARI PENYELESAIAN TERBAIK ISU BOIKOT

08/05/2024 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan perbincangan meja bulat bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu boikot terhadap beberapa produk kebelakangan ini. 

Ketua Pengarahnya Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata perbincangan meja bulat itu akan menghimpunkan pakar dalam pelbagai bidang selain IKIM juga akan menjalankan penyelidikan berkaitan isu tersebut. 

"IKIM merasakan bahawa isu boikot ini harus diteliti secara mendalam," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Pada 4 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan telah mengarahkan IKIM untuk meneliti semua pandangan berhubung tindakan boikot dalam kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini. 

Antara yang terlibat dalam isu boikot ialah syarikat kedai serbaneka KK Super Mart (KK Mart) ekoran isu stoking tertera kalimah Allah, selain beberapa jenama rangkaian makanan yang dikaitkan menyokong Israel yang berlaku zalim terhadap rakyat Palestin. 

Mohamed Azam berkata IKIM berpandangan isu boikot harus dilihat berdasarkan kepada neraca keadilan dan aspek maslahah (berguna, kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) secara mendalam serta jika tindakan itu adil dan benar, mendatangkan kebaikan atau mengundang lebih banyak mudarat.

Mengakui tindakan boikot boleh menunjukkan kuasa pengguna sebenar termasuk dalam menyampaikan mesej dan memberi isyarat kepada pengusaha di Malaysia, Mohamed Azam berkata masih ada persoalan yang perlu dlihat dalam konteks lebih meluas. 

“Ini termasuklah kesan terhadap kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan termasuk boleh menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan selain jika boikot memberikan keadilan sebenar kepada pelbagai pihak yang terlibat dan terkesan dengan tindakan tersebut

“Selain itu, pemegang saham terbesar beberapa rangkaian makanan yang diboikot juga dimiliki orang Islam, menimbulkan kekhuatiran jika boikot yang bersifat emosi dan tanpa perancangan rapi akan meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri.

"Tindakan ini juga menjejaskan sektor pekerjaan terutama membabitkan tenaga kerja tempatan terutama pekerja yang bekerja dengan entiti perniagaan yang diboikot, akan turut menerima kesan seperti pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan," katanya. 

Kenyataan itu juga merujuk kepada pandangan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh bahawa tuduhan menghina agama Islam dilemparkan terhadap pengurusan KK Mart susulan isu stoking tertera kalimah Allah tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran agar premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Wan Zahidi turut dilaporkan berkata satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau "alqasdul jinaei"  (criminal intent) dan elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui "syahadah" atau "direct evidence".

Sebaliknya, beliau berkata ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian "qarainul ahwal" (bukti ikut keadaan - circumstantial evidence).

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan