AM > BERITA

SIDANG KEMUNCAK SDG MALAYSIA 2024: WILAYAH TIMUR DI KUALA TERENGGANU DIADAKAN 19 MEI INI

08/05/2024 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama Kementerian Ekonomi akan menganjurkan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2024: Wilayah Timur di Kuala Terengganu pada 19 Mei ini. 

ECERDC dalam kenyataan memaklumkan sidang kemuncak itu merupakan edisi terakhir di peringkat wilayah, membuka jalan kepada sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada Julai ini. 

“Sidang Kemuncak SDG 2024: Wilayah Timur telah dimulakan dengan acara prapersidangan (prelude) pertama di Laman Warisan Kampung Laut, Kelantan seterusnya di dua lagi acara prapersidangan iaitu di Tasik Chini, Pahang pada 11 Mei dan di KampungStay@ Teluk Buih di Mersing, Johor pada 12 Mei sebelum Sidang Kemuncak di Terengganu berlangsung,” menurut kenyataan itu. 

Menurut ECERDC Sidang Kemuncak SDG 2024: Wilayah Timur di Laman Warisan Kampung Laut, Kelantan bertemakan “Konservasi Warisan Budaya” dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat dan rakan strategik Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) telah diadakan pada 3 Mei lepas.

“Inisiatif pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan melibatkan pembinaan Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni oleh ECERDC, serta pemindahan Masjid Kampung Laut yang berusia 400 tahun dari Nilam Puri ke lokasi asalnya di Kampung Laut.

“Inisiatif itu, juga dapat menghidupkan keunikan warisan, seni dan budaya tempatan serta menyediakan platform kepada penduduk untuk mempamer dan memasarkan kraftangan seperti wau, batik dan juadah negeri berkenaan,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Perancangan Strategik Korporat ECERDC Salida Azizi berkata pihaknya sentiasa komited dalam memulihara dan memelihara khazanah warisan budaya dan alam sekitar di wilayah ECER.

“Pemindahan Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya dan pembinaan Laman Warisan Serunding dan Laman Warisan Seni menyediakan platform khusus kepada pengusaha kraftangan, serunding dan juadah tempatan sekali gus mencipta mercu tanda warisan di Kelantan,” katanya. 

Menurut ECERDC, acara prapersidangan di negeri itu juga melibatkan sesi perkongsian ilmu mengenai beberapa perkara seperti kepelbagaian budaya, perpaduan sosial, perdamaian dan keamanan serta bengkel pembuatan wau dan batik canting.

Seramai 45 peserta dalam kalangan masyarakat setempat dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai program itu dan majlis juga diserikan dengan persembahan kebudayaan dikir barat di Laman Warisan Serunding.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan