AM > BERITA

PUSAT PERUBATAN SUNWAY JALIN KERJASAMA DENGAN UNIVERSITI IMU UNTUK PROGRAM PELATIH SISWAZAH

07/05/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway(SMC), Bandar Sunway, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, telah menjalin kerjasama dengan institut pengajian tinggi berprestij, International Medical University (Universiti IMU) untuk Program Pelatih Siswazah (GTP).

Program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar Sarjana Muda dalam bidang Farmasi di Universiti IMU yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam farmasi hospital.

Pihak pengurusan daripada kedua-dua organisasi tersebut telah menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis tersebut telah menyaksikan Presiden Kumpulan Perubatan Sunway (SHG) Datuk Lau Beng Long dan Pengarah Urusan (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan) SHG Dr Khoo Chow Huat mewakili SMC, manakala Universiti IMU telah diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan IMU Health Profesor Gerard George dan Pro Naib Canselor (Akademik) Universiti IMU Profesor Winnie Chee.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway Dr Seow Vei Ken, Naib Canselor Universiti IMU Profesor Abdul Aziz Baba dan Timbalan Naib Canselor Universiti IMU Profesor Ian Symonds.

Calon yang sesuai akan dikenal pasti dari Tahun 2 dan sekali gus memudahkan penglibatan awal antara SMC dan calon berpotensi melalui sesi temu duga, penempatan elektif dan aktiviti hospital.

Berbekalkan pengalaman selama 25 tahun dalam industri penjagaan kesihatan dan pencapaian meraih pelbagai akreditasi serta anugerah termasuk berada dalam senarai Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 yang berprestij tinggi, GTP ini dijangka memberi manfaat besar kepada graduan Universiti IMU yang terpilih dan SMC.

Program ini bermatlamat untuk menyediakan fasa peralihan yang lancar bagi graduan yang ingin berkhidmat dengan SMC, di samping menyediakan hospital dengan permohonan calon yang konsisten untuk mengisi jawatan Ahli Farmasi Berdaftar Provisional (PRP) setiap tahun menurut kenyataan itu lagi.

“MoU ini akan memberi pendedahan awal kepada pelatih terhadap industri penjagaan kesihatan yang mana mereka boleh memperoleh pandangan dan pengalaman berharga yang akan membentuk masa hadapan kerjaya mereka.

"Dengan adanya kerjasama antara pihak akademik dan institusi penjagaan kesihatan seperti ini, kami berpeluang memupuk bakat yang bukan sahaja berkebolehan tinggi tetapi juga bersemangat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang penjagaan kesihatan," kata Dr Khoo Chow Huat pada majlis tersebut.

MoU tersebut berkuat kuasa selama tiga tahun, dan setiap tahun, sehingga lima graduan IMU yang layak akan diberi peluang untuk memulakan latihan PRP dengan SMC.

Pengarah Perkongsian dan Penglibatan Industri Universiti IMU Ridzuan Repin berkata GTP bertujuan untuk menyediakan graduan dengan laluan kerjaya yang holistik dengan memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh SMC.

Beliau berkata bahawa GTP akan menampilkan kerjasama yang lancar antara industri dan ahli akademik, serta memastikan kesesuaian kurikulum dan pembangunan bakat di peringkat awal untuk graduan mereka.

“Melalui kerjasama ini, Pusat Perubatan Sunway bukan sahaja akan menyumbangkan pandangan mengenai amalan terbaik semasa dan hala tuju masa hadapan pasaran pekerjaan, tetapi juga akan terlibat secara aktif dalam peningkatan kurikulum, memberi input industri, serta membangunkan bakat muda kami,” katanya pada majlis tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan