AM > BERITA

PENGANJURAN IRC 2024 DI MALAYSIA: LANGKAH PENTING DALAM KEPIMPINAN AI DI ASEAN

07/05/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 yang berlangsung di sini hari ini menggariskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan kepimpinan dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan rantau ASEAN.

Ketua Persatuan Komunikasi Sistem Mudah Alih Global (GSMA) bagi Asia Pasifik Julian Gorman memuji usaha Malaysia dalam menganjurkan persidangan itu yang menghimpunkan pemimpin serantau bagi membincangkan peranan penting dasar dan peraturan dalam kemajuan AI.

"Lebih lima bilion orang di dunia kini memiliki telefon pintar dan AI kini boleh dicapai oleh kesemua individu ini dengan cara yang amat bermakna. Meskipun AI sudha lama wujud, ia mengubah cara kita berinteraksi antara satu sama lain dan persekitaran kita.

"Saya percaya adalah penting untuk memastikan individu terus mengembangkan kemahiran mereka dan menerima pendidikan supaya mereka boleh mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi digital, yang sedang dipercepat dengan ketara oleh AI," katanya selepas menjadi ahli panel di IRC bertajuk 'Shaping the Future of AI’ di sini hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk mencapai keseimbangan antara peraturan dan inovasi bagi memastikan kemajuan mampan dalam pembangunan AI.

Gorman juga berkata terdapat keperluan untuk peraturan bagi menyokong inovasi tanpa menyekat kreativiti selain menyokong semakan dilakukan ke atas peraturan sedia ada bagi memudahkan penyertaan industri yang lebih luas.

Ketua Pegawai Rangkaian Telekom Malaysia (TM) Mohamed Tajul Mohamed Sultan pula menonjolkan penggunaan proaktif teknologi AI TM khususnya melalui aplikasi pembelajaran mesin yang bertujuan meningkatkan keberhasilan di pihak pelanggan.

"Kami telah melaksanakan pelbagai kes penggunaan untuk terus menambah baik perkhidmatan kami dan mengumpul maklum balas pelanggan yang berharga untuk penambahbaikan selanjutnya," kata beliau yang turut menekankan kepentingan memanfaatkan AI untuk penambahbaikan berterusan.

Sementara itu, CEO YTL Communications Wing K Lee berkongsi pandangan mengenai projek pembinaan AI Cloud Malaysia akan datang yang bertujuan meletakkan negara sebagai hab serantau bagi teknologi AI termaju setelah siap.

"Projek AI Cloud, yang berkeluasan 664 hektar di Johor, akan menempatkan antara superkomputer tercanggih di dunia dengan kuasa pemprosesan melebihi 300 eksaflop," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga bersedia memacu pembangunan AI ke tahap yang belum pernah dilakukan sebelum ini. 

Penolong Pengarah Tadbir Urus AI Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infocomm Singapura (IMDA) Vanessa Wilfred pula menggariskan kemajuan republik itu dalam pembangunan AI.

Beliau merujuk pembangunan Sea-Lion, model bahasa besar yang direka bagi memudahkan pemahaman dan penjanaan bahasa semula jadi merentas budaya di Asia Tenggara.

"Sea-Lion mewakili komitmen Singapura untuk memanfaatkan AI bagi pelbagai aplikasi termasuk program teks kepada ucapan yang disesuaikan dengan bahasa serta budaya serantau," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan