AM > BERITA

RAJA ZARITH SOFIAH BERKENAN BERANGKAT KE HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK KK SINGAPURA

07/05/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK Singapura hari ini, bersempena dengan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke republik itu. 

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong disambut isteri Perdana Menteri Singapura Datin Paduka Ho Ching, yang juga Pengerusi Yayasan Temasek dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KK Prof Alex Sia. 

Turut hadir isteri Menteri Luar Singapura Joy Balakrishnan dan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Che Norhayati Soib.

"Raja Permaisuri Agong turut dibawa ke Bank Susu Badan KK dan Loker Peti Sejuk Beku Susu Badan KK pertama di dunia yang menyediakan tempat untuk penderma susu badan dan penerima mengambil susu badan sepanjang 24 jam selama tujuh hari," menurut hantaran itu. 

Selain itu, Raja Zarith Sofiah juga berkenan melawat Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan Pusat Penjagaan Khas bagi melihat demonstrasi Program Terapi Sentuhan untuk Kesihatan Bayi.

Pada lawatan itu, Raja Permaisuri Agong dipersembahkan dengan penerangan Hospital KK dan program yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Temasek. 

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama dua hari bermula semalam, atas jemputan Presiden republik itu Tharman Shanmugaratnam. 

Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Jan lepas dan keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan