AM > BERITA

BEKERJA SAMBIL LEWA MENGKHIANATI AMANAH - MUFTI P. PINANG

07/05/2024 08:00 PM

GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Jika seseorang pegawai atau pekerja tidak bersungguh-sungguh menunaikan pekerjaannya atau bekerja sekadar “melepaskan batuk di tangga” sahaja maka dia dikira mengkhianati amanah.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata termaklum bahawa para pegawai atau pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta ada menerima gaji atau upah sebagai ganjaran bagi kerja atau tugas yang dilakukan.

"Agama Islam menghendaki umatnya besungguh-sungguh dan tekun apabila melakukan tugas atau pekerjaan malah realiti menunjukkan bahawa kecuaian dalam melaksanakan tugas atau pekerjaan menyebabkan kemunduran negara dan bangsa dalam mengejar kemajuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihak kerajaan sentiasa menggalakkan seluruh  warga kerja sama ada di sektor awam atau swasta supaya bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, semoga dengan demikian Malaysia akan tergolong sebagai salah sebuah negara termaju di dunia serta dihormati di peringkat antarabangsa.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang meminta semua penjawat awam memantau dan mengenal pasti kakitangan kerajaan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Anwar dilapor menegaskan bahawa mereka yang didapati malas, cuai dan tidak hadir kerja, tidak boleh menerima layanan yang sama, termasuk mendapat kenaikan gaji.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan