AM > BERITA

PEMANDU PELANCONG BERPERANAN TINGKAT DAYA SAING INDUSTRI AGRO PELANCONGAN

07/05/2024 07:30 PM

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) -- Semua pihak berkaitan industri pelancongan termasuk pemandu pelancong mempunyai peranan dalam meningkatkan daya saing industri agro pelancongan negara bagi menyaingi tarikan terhadap sektor pelancongan di Thailand.

Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Azman Ismail berkata integrasi semua pemain industri serta peningkatan aspek berkomunikasi dan pengetahuan mengenai destinasi menarik di kalangan pemandu pelancong amat dituntut dalam menjadikan sektor agro pelancongan negara sebagai pilihan pelancong.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai destinasi agro pelancongan yang menarik, namun kekurangan dari aspek berkomunikasi menyebabkan negara sedikit terkebelakang dalam aspek menceritakan atau ‘menjual’ maklumat-makumat mengenai lokasi tarikan tersebut kepada pelancong.

“Potensi dalam sektor ini harus ditimbulkan dan dikukuhkan dengan kerangka strategi yang lebih efektif dan komprehensif dalam memacu pertumbuhan yang berkekalan di samping dapat menyaingi Thailand sebagai destinasi pilihan.

“Dalam masa yang sama, peranan pemandu pelancong yang mempunyai ilmu, maklumat dan kreativiti bagi menyampai dan menyalurkan informasi diperlukan juga penting bagi memastikan produk pelancongan itu mampu dijual di samping membuatkan pelancong untuk terus berkunjung ke tempat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Seminar Kebangsaan Agro Pelancongan 2024 di sini yang berlangsung mulai hari ini sehingga Khamis.

Azman berkata ketika ini terdapat sembilan Taman Agro Teknologi MARDI yang memiliki keunikan tersendiri, antaranya di Tanjong Karang yang dikenali sebagai lokasi penanaman padi, Kuala Kangsar Perak untuk pengeluaran durian dan Cameron Highland bagi penanaman pokok teh dan kilang teh terawal di Malaysia.

Beliau berkata destinasi pelancongan ini perlu terus dipromosikan kerana pelancong asing biasanya berminat dengan tempat-tempat tersebut kerana mereka berpeluang melakukan sendiri aktiviti mengutip buah-buahan, memetik daun teh serta menanam atau menuai padi.

Terdahulu seminar bertemakan “Kelestarian Agro Pelancongan Pemangkin Keterjaminan Makanan” itu menyaksikan 17 kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan pengamal industri berkaitan sebelum diakhiri dengan lawatan teknikal ke Taman Agro Teknologi MARDI Tajong Karang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan