AM > BERITA

GUARDIAN LEBARKAN BARISAN #IYKYK BEAUTY, TAMPILKAN 34 LAGI JENAMA

07/05/2024 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Guardian Malaysia mengumumkan langkah mengembangkan kategori ikoniknya  #IYKYK Beauty melalui penambahan 34 jenama kecantikan dan kesejahteraan yang membentuk trend baharu ke seluruh stornya yang menawarkan secara keseluruhan 76 jenama.

Menurut syarikat itu, langkah itu merangkumi enam bahagian berbeza dalam kategori Kecantikan #IYKYK termasuk Trending Beauty, Clean Beauty, Gentle To Skin, MY Beauty, Glass Skin dan Glowing Inside Out.

“Dalam ruangan Clean Beauty, Guardian kini menawarkan 13 jenama, manakala 14 jenama akan tersedia dalam segmen Gentle To Skin. Selain itu, enam jenama baharu akan ditampilkan dalam kategori Trending Beauty bersama enam jenama untuk Glass Skin dan 14 jenama untuk Glowing Inside Out.

“Di samping itu, 12 jenama baharu buatan Malaysia bakal melengkapkan 11 jenama sedia ada,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kategori #IYKYK Beauty direka untuk menonjolkan jenama yang telah menambat hati warga dalam talian yang hangat diperbincangkan di platform seperti Instagram dan TikTok.

 Dengan membawa masuk jenama-jenama  ini ke dalam stor Guardian di seluruh negara, syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan pelanggan dengan akses langsung kepada produk yang telah menguasai perbualan dalam talian. 

Sementara itu, Guardian House of Creators yang bertujuan melibatkan, mendidik dan memperkasakan pencipta kandungan Malaysia tentang hal-hal yang menjadi sohor kini selain mempertingkatkan kemahiran mereka telah menghasilkan banyak kemajuan dengan lebih 80 pencipta kandungan digital kini dilatih untuk mencipta lebih banyak kandungan yang memberi kesan.

"Kelas House of Creators yang terbaharu telah melatih 40 pencipta kandungan tentang cara menghasilkan cerita yang hebat dengan bantuan jenama-jenama #IYKYK Beauty Cuura dan BBIA.

"Langkah pengembangan ini juga akan memperkukuh lagi komitmen Guardian untuk menawarkan produk kecantikan terkini kepada para pelanggannya, menyediakan mereka pilihan jenama terkini yang sukar ditandingi dan sangat diidamkan, yang telah melanda dunia dalam talian, mengaut jualan yang besar dan menjadi buah mulut warga industri.

Sementara itu, Pengarah Komersial Guardian Malaysia Anna Hull dalam kenyataan yang sama berkata sambutan memberangsangkan terhadap #IYKYK Beauty menggariskan kepercayaan terhadap kepentingan menjadikan jenama sensasi dalam talian ini mudah diakses oleh pelanggan di dalam talian mahupun di stor fizikal.

“Melalui kategori #IYKYK Beauty, kami telah menempatkan diri kami sebagai peneraju dalam mempamerkan trend kecantikan yang baharu muncul di Malaysia. Menerusi kerjasama dengan platform media sosial dan pencipta kandungan, kami telah berjaya menyusun sebuah koleksi jenama sensasi yang menarik perhatian peminat kecantikan dalam talian di seluruh negara.”

Beliau turut menekankan mengenai komitmen Guardian untuk kekal di hadapan dalam trend kecantikan global dan memastikan pelanggan mendapat akses kepada inovasi terkini pada harga kompetitif.

“Guardian kini menjadi destinasi utama anda untuk semua barangan yang mewarnai ruangan penjagaan kecantikan. Kategori #IYKYK Beauty akan dikemas kini secara kerap dengan jenama-jenama  baharu diperkenalkan tepat pada masanya, memastikan pelanggan sentiasa mendapat trend kecantikan dalam talian terkini. Dan inilah yang kami lakukan selama ini,” jelas Anna.­

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan