AM > BERITA

PASUKAN PETUGAS KHAS DITUBUH TELITI PELAKSANAAN INISIATIF PEMBIAYAAN

07/05/2024 04:31 PM

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi meneliti terma rujukan (TOR) untuk pelaksanaan inisiatif pembiayaan terlebih dahulu oleh Sarawak bagi projek-projek persekutuan di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata pasukan berkenaan akan diterajui bersama Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

“Pasukan petugas khas itu akan mengemukakan perincian pelaksanaan (inisiatif pembiayaan). 

"Sehubungan itu, segala isu yang berkaitan dengan status pelaksanaan dan tempoh masa bagi menaik taraf hospital serta klinik-klinik usang di Sarawak, yang mengalami masalah pembiayaan akan bergantung terhadap kejayaan TOR dan perincian mekanisme pembiayaan baharu,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Wong ingin tahu sama ada terdapat sebarang rancangan untuk memulihkan dan menaik taraf klinik-klinik luar bandar yang fizikalnya kurang baik dan tidak mencukupi di negeri ini.

Pada 30 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek Persekutuan di negeri itu bagi mempercepat pelaksanaannya.  

Menurut Anwar kerjasama berkenaan, yang bakal melakar sejarah akan bermula dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan