AM > BERITA

SARAWAK BINCANG MEKANISME SALUR BANTUAN BERSASAR DALAM MASA TERDEKAT

07/05/2024 04:16 PM

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Sarawak akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pelaksanaan penyaluran bantuan bersasar buat penerima layak dalam kalangan rakyat negeri itu dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri – Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata hal ini bagi memastikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi data mereka dilindungi.

“Kerajaan Sarawak melalui agensi berkaitan termasuk agensi Persekutuan di Sarawak akan mengenal pasti mekanisme terbaik bagi penyaluran bantuan bersasar kepada penerima layak.

“Ia bagi memastikan tiada rakyat Sarawak yang layak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya menjawab soalan Razaili Gapor (GPS-Beting Maro) semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Razaili ingin tahu rancangan Sarawak untuk melaksanakan bantuan bersasar susulan keputusan kerajaan negeri menangguhkan proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum ini.

Sharifah Hasidah berkata Sarawak juga bersedia untuk melaksanakan bantuan subsidi bersasar daripada kerajaan Persekutuan menggunakan data yang sedia ada pada agensi-agensi di negeri ini.

“Ia mekanisme serupa dengan pelaksanaan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan