AM > BERITA

PERSIDANGAN ANTARABANGSA KETUA-KETUA AGAMA TEKANKAN TANGUNGJAWAB, PERANAN PEMIMPIN

07/05/2024 03:43 PM

PETALING JAYA, 7 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama yang berlangsung hari ini sebagai satu acara terbaik dalam menekankan tanggungjawab dan peranan ketua agama terhadap masyarakat. 

Fahmi berkata perkara itu merupakan mesej utama yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan persidangan yang menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia itu. 

“Mesej utama Perdana Menteri dalam ucapan perasmian berkait keperluan ketua-ketua agama tampil dan membantu untuk meredakan keadaan bila masa, kalau di sesetengah negara kelihatan seperti faham ekstremisme keterlaluan dan sehingga timbul ketegangan atau kerosakan dalam masyarakat di negara terbabit.

“Perdana Menteri tak merujuk mana-mana negara secara khusus tetapi secara umum dan harapannya perbincangan yang dijana akan dapat menghasilkan resolusi Kuala Lumpur yang akan diumum pada penghujung persidangan ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu di sini hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri berkata Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama akan menjadi acara tetap di Malaysia. 

Persidangan sehari berkenaan akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia di Hotel Mandarin Oriental di sini pada Rabu.

Kedua-dua persidangan itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan