AM > BERITA

IPR-INTAN DI SABAH MAMPU HASILKAN 5,000 TAN NANAS MD2

07/05/2024 01:24 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) penanaman nanas varieti MD2 di Sabah mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan buah berkenaan dengan anggaran pendapatan RM20 juta apabila dituai secara berperingkat akhir Oktober ini hingga Julai 2025.

Timbalan Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Eswadi Roslan berkata pelaksanaan secara fizikal projek penanaman itu telah bermula pada Ogos tahun lepas dengan kerja-kerja pembersihan dan penyediaan kawasan, seterusnya penanaman pada bulan September tahun yang sama.

Beliau berkata tanaman fasa pertama itu melibatkan kawasan tanah seluas 80.9 hektar melibatkan 180 peserta di Kampung Gana, Kota Marudu yang terletak kira-kira 158 kilometer dari Kota Kinabalu. 

"Kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan yang telah ditanam juga dijalankan bagi memastikan tanaman nanas dapat dituai tahun ini selain sulur nanas juga ditanam di kawasan tanah seluas 80.4 hektar," katanya kepada Bernama.

Pada 16 April lepas, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata LIGS diberi kepercayaan Kementerian Ekonomi melaksanakan program IPR-INTAN melalui penanaman nanas MD2 di kampung berkenaan bagi menambah pendapatan penduduk dan menghapuskan kemiskinan.

IPR-INTAN merupakan program di bawah Kementerian Ekonomi untuk membantu para petani golongan B40 dalam kalangan penduduk luar bandar melalui konsep penyertaan dalam Ladang Berkelompok.

Sementara itu, Eswadi berkata menerusi fasa pertama IPR itu, sebanyak RM11.4 juta peruntukan telah diberikan kepada LIGS pada tahun lepas dan akan diteruskan dalam fasa dua melibatkan kawasan seluas 121 hektar dengan kos RM16.5 juta yang akan memberi manfaat kepada 270 lagi peserta.

Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan program penanaman nanas berskala besar itu, pelbagai cabaran perlu dihadapi dan diselesaikan antaranya pemilihan lokasi yang sesuai untuk penanaman nanas adalah kritikal.

"Tanah yang subur, akses kepada bekalan air yang mencukupi dan iklim yang sesuai ialah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan. Hal ini kerana nanas memerlukan air yang mencukupi untuk tumbuh dengan baik.

"Penyediaan sistem pengairan yang efisien dan berkesan adalah penting bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air yang mencukupi serta mengalirkan air berlebihan," katanya dan menambah pokok nanas juga perlu menerima sinaran matahari sekurang-kurangnya enam jam sehari, tanah harus mempunyai saliran yang baik dengan pH antara 4.5 hingga 6.5. bagi membantu penyerapan nutrien yang berkesan.

Katanya, serangan makhluk perosak seperti koya iaitu serangga kecil yang menghisap cecair pada tanaman menyebabkan pertumbuhan tanaman menjadi lemah dan daun bertukar warna menjadi kuning.

Nematod iaitu parasit mikroskopik juga menyerang akar yang akan mengganggu penyerapan air dan nutrien, selain ulat juga merosakkan daun serta mempengaruhi proses fotosintesis.

"Racun serangga dan kulat digunakan mengikut keperluan serta selamat disembur pada pokok nanas, selain amalan penggantian tanah atau rawatan tanah untuk mengurangkan populasi perosak.

"Baja turut digunakan iaitu baja yara mila, yara kristalon green, yara kristalon red dan baja urea," katanya turut menambah LIGS kini mempunyai benih nanas MD2 dan mampu memberikan bekalan bagi keperluan tempatan.

Kota Marudu dipilih bagi menjayakan projek IPR itu kerana berdasarkan Kajian Paras Garis Kemiskinan (PGK) pada 2019 oleh Jabatan Statistik Malaysia, kadar kemiskinan di Kota Marudu adalah sebanyak 46.2 peratus.

Ia juga antara tiga daerah termiskin di Malaysia selepas Pitas (53.6 peratus) dan Tongod (56.6 peratus) selain disenaraikan antara 10 lokaliti di Sabah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan