AM > BERITA

LRA SUNGAI LINGGI BEROPERASI SEMULA - AMINUDDIN HARUN

06/05/2024 06:18 PM

SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) -- Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dekat sini kembali beroperasi semula hari ini selepas sumber air mentah kembali pulih, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pemberhentian operasi LRA selama beberapa hari itu memberi kesan gangguan bekalan air kepada seramai 37,000 pengguna yang berada di Port Dickson dan sebahagian di Seremban.

“Sepanjang permasalahan gangguan bekalan air ini, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menyediakan 12 tangki statik di beberapa lokasi utama dan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Sains memaklumkan operasi di LRA itu terpaksa ditutup sementara berikutan terdapat masalah kualiti air mentah kerana terdapat bau minyak yang tinggi iaitu pada kadar 19 ton.

Terdahulu, Aminuddin berkata operasi dijalankan Jabatan Alam Sekitar N. Sembilan (JASNS) pada Sabtu lepas di sepanjang laluan Jalan Pantai mengenal pasti satu premis bengkel lori yang disyaki suspek dalam kes pelepasan cecair minyak ke Sungai Linggi dan kes sedang disiasat.

Beliau berkata kerajaan negeri amat komited dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau organisasi yang didapati melakukan kesalahan mencemarkan sumber air mentah di negeri ini dengan tindakan tegas akan dikenakan sama ada dalam bentuk kompaun, denda atau penjara.

Aminuddin berkata orang awam digalakkan menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku pada masa akan datang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan