AM > BERITA

LRA KOGOPON FASA DUA PERLU BEROPERASI LEBIH AWAL ATASI MASALAH BEKALAN AIR PAPAR - ARMIZAN

06/05/2024 05:01 PM

PAPAR, 6 Mei  (Bernama) -- Projek naik taraf kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua perlu beroperasi lebih awal untuk mengatasi masalah air yang semakin membimbangkan di kawasan Papar dan sekitarnya, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata terdapat beberapa perkara yang diutamakan untuk memastikan LRA berkenaan dapat disiapkan dan beroperasi lebih awal sebelum tempoh dijadual siap pada Ogos 2026.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diarah untuk memastikan komponen muka sauk dan loji penapis dapat disiapkan terlebih dahulu, dan kedua-dua komponen itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.

“Kos pembinaan LRA itu melibatkan peruntukan kira-kira RM365 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JHL.

"Tambahan 40 JLH itu akan menjadikan keseluruhan bekalan air yang boleh dikeluarkan adalah 103 JLH berbanding kini iaitu 63 JLH yang dikeluarkan kesemua LRA di kawasan Papar," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA berkenaan di sini hari ini.

Armizan berkata bekalan air bersih daripada LRA itu bukan sahaja mampu membekalkan air kepada penduduk sekitar Papar tetapi juga sehingga ke kawasan Ulu Kimanis, Selatan Putatan dan sebahagian Kem Lok Kawi.

Sementara itu beliau berkata projek pembinaan muka sauk kedua bagi menyokong LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau dilaksanakan dalam masa terdekat, dengan reka bentuk projek berkenaan dijangka siap mninggu ini setelah beberapa siri perbincangan pihak terlibat.

“Selepas itu JANS akan mengangkat kertas pertimbangan ke Jemaah Menteri Sabah untuk memohon peruntukan sebenar sebelum proses perolehan dilaksanakan. Saya merayu kepada kerajaan negeri dan JANS dapat memastikan proses selesai dalam tempoh satu bulan ini," tambahnya.

Armizan berkata untuk penyelasaian jangka panjang, kerajaan negeri perlu serius untuk membina sebuah empangan yang sebelum ini telah dikenal pasti di kawasan Papar, kerana walaupun kerajaan negeri silih berganti projek itu masih tidak dapat dilaksanakan.

"Isu ini sudah lama disebabkan banyak kekangan termasuk campur tangan pihak luar yang menghasut penduduk agar menolak pembangunan berkenaan. Kalau empangan ini tidak dilaksanakan maka, isu air tidak akan dapat diselesaikan.

“Ini kerana semakin hari, semakin banyak pembangunan seperti perumahan yang sudah semestinya memerlukan sumber air. Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri bertegas mengenai perkara ini...ketepikan politik mari kita sama-sama menyokong usaha ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan