AM > BERITA

PETRA JALIN KERJASAMA DENGAN PEMAIN INDUSTRI GALAK PEMASANGAN SOLAR DI KEDIAMAN

06/05/2024 04:23 PM

SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjalin kerjasama dengan AEON Group, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan SOLS Energy memperkenalkan program Solar BOLEH!, satu inisiatif bagi membolehkan lebih ramai menyertai program pemasangan solar di kediaman.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program di bawah Inisiatif Solar Peralihan Tenaga untuk Rakyat (Inisiatif Solar@PETRA) bagi menggalakkan rakyat mendapat manfaat daripada agenda peralihan tenaga negara itu dirangka secara khusus untuk meluaskan capaian pengguna domestik kepada skim pemasangan solar serta kemudahan pembiayaan yang tersedia di pasaran.

Beliau yang jug aMenteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata menerusi kerjasama awam-swasta itu, langganan pemasangan solar boleh dilakukan secara mudah di cawangan AEON di seluruh negara dengan faedah tertentu ditawarkan kepada pemegang kad AEON seperti mendapat dua kali ganda mata ganjaran.

"Kalau dahulu pemasangan solar di kediaman biasanya hanya dilakukan oleh mereka yang berkemampuan kerana kosnya agak tinggi tetapi dengan program Solar BOLEH!, kita yakin lebih ramai dapat menyahut seruan menyokong agenda peralihan tenaga.

"Akses lebih luas ini turut disokong melalui kemudahan pembiayaan solar oleh BSN kepada penjawat awam selain SOLS Energy menawarkan kaedah sifar modal kepada pengguna domestik, menjadikan pemasangan solar lebih bersifat mampu bayar untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata Program Solar BOLEH! merupakan tambahan kepada program rebat solar yang diperkenalkan kerajaan awal April lepas, iaitu Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) yang sedang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata kementerian itu akan terus melaksanakan semua usaha dan inisiatif yang dikenal pasti ke arah mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik termasuk menjalin kerjasama lebih erat dengan pihak swasta ke arah melaksanakan agenda peralihan tenaga bagi industri bekalan elektrik negara.

"Selain meneruskan penjanaan tenaga boleh baharu secara komersial dan berskala utiliti, tumpuan meningkatkan kapasiti penjanaan daripada sumber solar, turut diberikan terhadap usaha untuk meluaskan lagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bagi segmen pengguna domestik.

“Ini khususnya dengan memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan dan kediaman untuk penjanaan elektrik daripada sumber solar," katanya.

Sebelum ini, Fadillah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan TNB bagi memastikan lebih banyak rakyat dapat menyertai program pemasangan solar di kediaman mampu milik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan