AM > BERITA

HARI SUKAN TAARANA 2024: MEMPERKASAKAN KANAK-KANAK KURANG UPAYA

06/05/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Taarana, sebuah sekolah yang menyediakan perkhidmatan kepada pelajar berkeperluan pendidikan khas menganjurkan Hari Sukan Taarana 2024 pada Sabtu (4 Mei), menjadi platform untuk kanak-kanak kurang upaya berinteraksi dengan masyarakat dan meningkatkan kemahiran sosial dan kehidupan mereka.

Pengetua Taarana Dr S. Sunitha berkata acara tahunan itu bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya melibatkan diri dalam aktiviti yang mungkin tidak mudah dilakukan mereka.

“Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya sering berasa berat hati untuk membawa anak mereka ke pelbagai program atau tempat kerana bimbang persepsi masyarakat,” katanya ketika berucap pada Hari Sukan Taarana 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Sunitha berkata Sekolah Taarana menawarkan beberapa program untuk membantu dalam pembangunan dan kemajuan kanak-kanak kurang upaya seperti Program Intervensi Awal, Program Transisi, Program Intervensi Bersasar (TIP), dan Model Program Komunikasi.

"Apabila pelajar mendaftar, kami menjalankan penilaian dengan pasukan pakar kami untuk menentukan program yang paling sesuai berdasarkan kebolehan dan keperluan kanak-kanak.

“Bagi mereka yang tidak boleh berdikari, berumur antara empat hingga enam tahun, kami mendaftarkan mereka dalam Program Intervensi Awal. Sebaliknya, jika mereka mampu berdikari, kita daftarkan mereka dalam Program Transisi," jelasnya.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan program akan datang seperti Zero Waste@Taarana yang memperkasakan pelajar Sekolah Taarana melalui aktiviti kitar semula, dan inisiatif Taarana Cafe yang bertujuan untuk mengendalikan kedai makanan dan minuman pada September ini.

"Program Zero Waste@Taarana, ia mengembangkan kebolehan unik pelajar, menyediakan peluang untuk pembelajaran, pertumbuhan dan sumbangan kepada kelestarian.

"Melalui kitar semula secara langsung, bengkel dan projek seni, ia menyemai tanggungjawab menjaga alam sekitar, menggalakkan keterangkuman sosial, dan menyediakan pelajar untuk pekerjaan masa depan," kata Sunitha.

Beliau berkata  Taarana Cafe memperkenalkan pelajar kepada aspek praktikal mengusahakan kafe, memupuk kemahiran dalam penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan, dan kerja berpasukan.

Sementara itu, Prof Madya Dr Annapurny Venkiteswaran, ibu bapa kepada pelajar Taarana, memuji impak transformatif acara itu.

“Menyaksikan anak saya berkembang, amat membanggakan Taarana sekali gus mengukuhkan keyakinan saya terhadap kepentingan persekitaran yang meraikan kepelbagaian saraf dan memupuk pertumbuhan individu,” katanya.

Pandangan beliau itu senada dengan ramai ibu bapa yang berpendapat bahawa acara itu penting dalam memupuk penerimaan dan keyakinan dalam kalangan kanak-kanak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan