AM > BERITA

SPEAKER DEWAN NEGARA TERIMA RAWATAN SUSULAN DI KL

06/05/2024 08:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital di sini susulan masalah kesihatan yang dialami ketika berada di Azerbaijan. 

Menurut kenyataan pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, Mutang tiba di tanah air dari Azerbaijan pada 1 pagi tadi setelah berada di negara itu untuk lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada jadualnya.

“Senator mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan Azerbaijan yang membantu urusan rawatan beliau di negara itu dan urusan pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas ingatan serta doa untuk kesembuhannya dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan ini,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

Mutang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ilham Aliyev Perdana Menteri Ali Asadov dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan Sahiba Gafarova serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan