AM > BERITA

PERTAMA: SARIHA MOHD ALI PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN BUAT PENGGAL KELIMA

05/05/2024 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Sariha Mohd Ali mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) untuk penggal kelima dalam keputusan sebulat suara ahli yang memilihnya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-52 persatuan berkenaan hari ini. 

Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus pula kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama Nor Hasliza Abdullah juga kekal sebagai Setiausaha.

Pegawai Berita di Bahagian Perancangan Strategik Bernama Wan Nor Azura Mior Abdul Aziz pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha, manakala Editor Eksekutif Bernama M. Saraswathi dilantik sebagai Bendahari.

Sariha ketika ditemui Bernama berkata dalam hala tuju PERTAMA, beliau mahu suara wartawan wanita didengari dan diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya mohon kerajaan mengambil kira kepentingan sumbangan kaum wanita yang menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Kita setanding dengan wartawan lelaki, tetapi jika kita mahu lihat dari segi cabaran, wanita lebih berdepan cabaran besar, sebab selain melaporkan tugas dalam bidang kewartawanan, kita menguruskan keluarga dan anak-anak.

“PERTAMA ditubuhkan pada tahun 1971 oleh Allahyarhamah Azah Aziz (nama sebenar Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff). Persatuan ini merupakan persatuan media tertua melibatkan petugas media wanita yang pertama,” katanya.

Beliau yang juga Pengarang Berita di Berita Harian berkata PERTAMA sentiasa memperjuangkan kebajikan ahlinya seperti pemberian bantuan jika ada ahli yang uzur atau menerima rawatan di hospital, dan juga bantuan buat kaum keluarga ahli yang meninggal dunia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan