AM > BERITA

KERAJAAN SABAH KOMITED BINA LRA DI PULAU BANGGI - HAJIJI

05/05/2024 08:25 PM

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri akan meminta laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi membina sebuah loji rawatan air (LRA) di Pulau Banggi, Kudat terutama melibatkan kos yang diperlukan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan Sabah komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh penduduk menerusi pembinaan sebuah LRA baharu khusus untuk pulau itu.

Menurut Hajiji kerajaan negeri sentiasa mendengar keluh-kesah daripada penduduk berkaitan masalah bekalan air dihadapi mereka dan sedang mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain,” katanya dalam kenyataan selepas melawat pulau itu hari ini. 

Hajiji berkata selain masalah di Pulau Banggi, beliau turut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri ini.

Hajiji turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Banggi dan Tanjung Kapor, Kudat pada Ahad.

Pada majlis itu beliau menasihati anggota parti Gagasan Rakyat supaya tidak melayan pelbagai tuduhan pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan negeri.

Hajiji juga menyeru pemimpin di semua peringkat supaya bersama-sama menumpukan tugas untuk membela rakyat negeri ini sejajar kehendak rakyat.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak, dan bantuan kerajaan negeri sebanyak RM540,000 kepada 27 ketua isi rumah mangsa kebakaran kampung Tanjung Kapor Hujung. 

Beliau juga menyampaikan sumbangan kerajaan sebanyak RM300,000 kepada Gereja Basel Malaysia untuk pembinaan muzium gereja itu di Kudat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan