AM > BERITA

AGONG, RAJA PERMAISURI BERKENAN MENGADAKAN LAWATAN NEGARA KE SINGAPURA

05/05/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Singapura pada 6 dan 7 Mei ini atas jemputan Presiden negara berkenaan Tharman Shanmugaratnam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda sejak menaiki takhta pada 31 Jan lepas.

Menurut kenyataan itu keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua akan diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

“Semasa Lawatan Negara ini, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan menerima Sambutan Negara di Istana, Singapura, diikuti dengan pertemuan dengan Presiden Republik Singapura serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Singapura.

“Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Seri Paduka Baginda juga berkenan mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Lawatan Negara itu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura serta mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk mengerat dan mempelbagaikan jalinan kerjasama.

“Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain sejak lebih sedekad yang lalu, dan yang terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN. Pada tahun 2023, jumlah dagangan kedua-dua negara adalah RM363.13 bilion (US$79.60 bilion),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan