AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT 2024: ALAMI PENGALAMAN MEWARNA BATIK DI RERUAI KDN

04/05/2024 07:37 PM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini menjadi platform kepada Jabatan Penjara mengetengahkan corak batik hasil lukisan tangan banduan. 

Pegawai penjara dari Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan Mohd Shahrizal Ramli berkata pihaknya menyediakan kira-kira 150 corak batik yang dilukis sendiri oleh banduan dari penjara berkenaan bagi aktiviti mewarna batik untuk pengunjung di reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman mewarna batik seterusnya membawa pulang batik tersebut secara percuma.

“Yang lukis semua banduan penjara, kami dah canting. Pengunjung datang hanya untuk mewarna sahaja. Tiada bayaran dikenakan dan selepas siap mewarna pengunjung boleh bawa balik,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai KDN hari ini.

Beliau berkata setiap banduan dilatih untuk mencanting batik dan mereka dibayar antara 30 sen hingga RM1 sehari.

“Dalam sehari kalau batik cop banduan boleh siapkan dalam 10 helai tapi kalau batik lukis dalam dua helai sehari,” katanya.

Sementara itu, penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Shazlin Samsudin, 23, ketika ditemui di reruai KDN berkata dia teruja dan terpegun dengan corak-corak yang dihasilkan.

“Saya sangat seronok sebab kali pertama saya buat, saya cuba campurkan warna untuk hasilkan warna baharu. Semua corak yang dibuat memang cantik. Program ini sangat bermanfaat dan tidak buang masa,” katanya. 

Tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan gunting rambut percuma disediakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri menerusi program uKasih R.U.J.I  (Menggunting Rambut, Urutan, Jahitan dan Pengiklanan) menjadi antara tarikan pada program itu.

Penyelaras Program Aktiviti Negeri (Seksyen Kesejahteraan Rakyat) Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara Ahmad Hazwan Othman berkata lebih 40 pengunjung hadir untuk mendapatkan khidmat gunting rambut sejak program itu bermula semalam.

“Rata-rata pengunjung yang menggunakan perkhidmatan ini ialah mereka berusia 30 tahun ke atas termasuk juga kanak-kanak. 

“Khidmat gunting rambut ini kita laksanakan mulai 9 pagi hingga 6 petang selama tiga hari sepanjang program ini berlangsung. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu rakyat khususnya bagi mereka yang miskin tegar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan