AM > BERITA

FDAM GALAKKAN AHLI MENCARUM SKSPS

04/05/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggalakkan kesemua ahlinya menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan mencarum di bawah skim itu untuk perlindungan ketika bekerja.

Presidennya Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata ahli-ahli perlu memanfaatkan peluang itu dengan segera menyertai skim berkenaan kerana risiko untuk ahli FDAM mendapat kemalangan ketika berada di set penggambaran boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Beliau berkata skim berkenaan banyak memberi manfaat kepada ahli FDAM terutama bagi mereka yang sebelum ini tidak pernah membuat caruman mahupun mempunyai insurans peribadi.

“Apabila setiap ahli menyertai SKSPS, ia sekurang-kurangnya dapat menampung sebarang kesulitan yang mungkin berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Afdlin Shauki, FDAM menyambut baik usaha kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama PERKESO yang menawarkan SKSPS kepada penggiat seni termasuk ahlinya.

“FDAM turut berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi, FINAS dan PERKESO kerana membantu (menaja) 4,500 kuota untuk golongan penggiat seni membuat caruman menerusi SKSPS. 

“Malah, ini juga menjadi peluang keemasan buat ahli FDAM kerana caruman yang ditawarkan akan dibiayai FINAS bagi tempoh setahun,” katanya.

Terdahulu FINAS bersetuju menaja 4,500 penggiat seni tanah air untuk mencarum di bawah SKSPS PERKESO dengan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tajaan itu adalah 10 peratus daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.

Inisiatif itu adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kementerian Komunikasi melalui FINAS bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi PERKESO pada 23 April lepas bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan