AM > BERITA

KAEDAH NYAMUK BERWOLBACHIA ATASI MASALAH KES DENGGI DI N.SEMBILAN

04/05/2024 03:49 PM

NILAI, 4 Mei (Bernama) -- Kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kepada 2,824 kes hingga Minggu Epidemiologi ke-17 (ME17) tahun ini berbanding 1,032 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan negeri Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata bagi mengekang peningkatan kes dan wabak itu secara proaktif, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah menggunakan kaedah pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

Beliau berkata kaedah itu merupakan pencegahan secara biologi dan tidak memberi impak kepada kesihatan manusia. 

“Kaedah ini juga tidak melibatkan pengubahsuaiaan nyamuk secara genetik serta tidak mengubah komposisi nyamuk di ekosistem semula jadi,” katanya pada Program Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia di lokaliti Zon A Desa Anggerik di sini hari ini.

Menurutnya Zon A Desa Anggerik merupakan lokaliti pertama di negeri ini yang dipilih berdasarkan beberapa faktor ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya bebanan kes demam denggi dan kerjasama baik daripada penduduk.

Wolbachia, sejenis bakteria yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes Aegypti dan bertindak merencat perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk seterusnya menghalang jangkitan virus denggi kepada manusia. 

Nyamuk Aedes berWolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Dalam pada itu, Tengku Zamrah berkata komuniti setempat juga perlu terlibat secara langsung dengan meneruskan aktiviti kebersihan seperti gotong royong mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam serta luar rumah.

“Sekiranya terdapat ahli keluarga yang demam, segera dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan berhampiran. Penduduk juga dibenarkan menggunakan aerosol dan penghalau nyamuk sekiranya jumlah nyamuk terlalu banyak di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Harlina Abd Rashid berkata negeri ini dipilih bagi memperluaskan projek pelepasan nyamuk Aedes Aegypti berWolbachia bagi fasa keempat tahun ini. 

Beliau berkata lokaliti Zon A Desa Anggerik dipilih berdasarkan kekerapan wabak dan kepadatan nyamuk Aedes Aegypti yang tinggi. 

"Kaedah pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia ini merupakan strategi komplementari yang baik kerana ia sesuai dengan hala tuju pencegahan dan kawalan vektor penyakit denggi iaitu mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga berasaskan bahan kimia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan