AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT 2024: PILIH PAKAIAN SESUAI ELAK STROK HABA - FAHMI

04/05/2024 03:40 PM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Orang ramai yang ingin hadir ke Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini disarankan untuk memilih pakaian bersesuaian berikutan cuaca panas ketika ini.

Memberi peringatan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hal ini bagi mengelakkan pengunjung diserang strok haba.

“Cuaca agak panas di luar. Kalau mereka yang membawa anak-anak kecil, bawa juga payung atau topi untuk mereka bagi mengelakkan terkena strok haba,” katanya selepas mengadakan lawatan di reruai Kementerian Komunikasi bersempena dengan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara hari ini.

Berdasarkan tinjauan menerusi aplikasi myCuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca dilaporkan mencecah hingga 34 darjah Celcius di sekitar bandar ini.

Fahmi juga menyarankan orang ramai memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma yang disediakan bagi memudahkan perjalanan mereka ke lokasi program yang berlangsung bermula semalam hingga esok itu.

Terdapat dua laluan disediakan bagi perkhidmatan bas perantara iaitu laluan 1 dari Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) ke Tapak Pesta Sungai Nibong (setiap 30 minit) dan laluan 2 dari jeti ke Queensbay Mall ke Tapak Pesta Sungai Nibong (setiap 45 minit).

Kesemua perkhidmatan itu beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara berlangsung.

Perkhidmatan feri percuma turut disediakan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda sepanjang tiga hari program berlangsung serta perkhidmatan KTM Komuter (Utara) secara percuma mulai hari ini dan esok, melibatkan perjalanan dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan