AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA MAMPU CAPAI SASARAN LEBIH 100,000 PENGUNJUNG

04/05/2024 02:02 PM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini meriah dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak semalam.

Ketua Penyelaras program itu Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata pihaknya yakin sasaran kehadiran  lebih 100,000 pengunjung pada program selama tiga hari sehingga esok itu mampu dicapai.

“Daripada pemerhatian kami sejak semalam kita sudah terima lebih 30,000 pengunjung dan sambutan pada hari ini sangat meriah. Orang ramai sudah mula berkumpul sebelum 7 pagi lagi dan insyaAllah kita yakin boleh mencapai sasaran 100,000 pengunjung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata 196 perkhidmatan langsung oleh kementerian dan agensi disediakan pada program itu selain Jualan MADANI yang menjadi antara tarikan utama dengan menawarkan barangan keperluan seperti beras tempatan 10 kilogram berharga RM26.

Menurutnya program yang memasuki hari kedua hari ini turut menyediakan khidmat penukaran 2,000 unit topi keledar secara percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan karnival kerjaya melibatkan 26 syarikat dengan 1,500 peluang pekerjaan.

“Di sebelah malam pula kita ada konsert dan antara artis jemputan ialah Hael Husaini dan Rahmad  MEGA. Jadi, saya menyeru kepada semua untuk datang meriahkan program ini selain mendapatkan perkhidmatan secara langsung dan membuat pembelian barang keperluan dengan diskaun yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Zainuddin memaklumkan kaunter pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan jumlah kutipan mencecah RM500,000 setakat semalam.

Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin berkunjung ke program itu untuk menggunakan bas perantara yang disediakan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan keselesaan di samping mengelakkan kesesakan trafik.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung bermula 9 pagi hingga 10 malam itu adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 196 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan