AM > BERITA

TOURISM PERAK PROMOSI TAHUN MELAWAT PERAK 2024 DI SINGAPURA

27/04/2024 09:08 PM

SINGAPURA, 27 April (Bernama) -- Tourism Perak membawa tarikan terbaik dari negeri itu ke pameran GO Malaysia Fair dari 26 hingga 28 April di pusat beli-belah Marina Square di sini untuk meneruskan momentum dalam mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024  (VPY2024).

Pengerusinya Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata Tourism Perak selaku rakan strategik GO Malaysia Fair  membawa bersama 12 peserta dari negeri itu sebagai sebahagian daripada program promosinya untuk mencapai sasaran ketibaan pelancong antara lapan hingga 10 juta dengan perolehan sebanyak RM10 bilion dalam VPY2024. 

"Pasukan kami buat masa ni turut berada di Jepun dan Korea Selatan untuk tujuan promosi. Di sini, peserta yang kami bawa terdiri daripada pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, kesihatan, senggang  dan hotel.

Di bawah VPY2024 kita sasar 350,000 ketibaan pelancong antarabangsa dan jika kita lihat daripada tahun-tahun sebelumnya, ketibaan pelancong antarabangsa yang tertinggi adalah dari Singapura," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pameran itu pada Sabtu. 

Mohd Kamil berkata Tourism Perak berharap menerusi penglibatan berterusan dalam pelbagai pameran pelancongan di Singapura dan di seluruh dunia, Perak  boleh mengetengahkan pelbagai tarikan yang ada di negeri itu termasuk Taman Negeri Royal Belum, Tasik Cermin, Kuala Sepetang dan Pulau Pangkor. 

Antara reruai di pameran itu di bawah Tourism Perak termasuk Chek Hup Sdn Bhd yang terkenal denga kopi putih Ipoh, Riverbug Perak yang menawarkan pengalaman pengembaraan yang menarik seperti rakit redah jeram dan taman kembara Dinosour Encounter World.

Sementara itu GO Malaysia Fair yang dianjurkan Unique Event & Exhibition dengan kerjasama Tourism Malaysia juga menyaksikan penyertaan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk menggalakkan pelancongan kesihatan.

Pengarah untuk Pasaran Asia Tenggara MHTC  Suryani Mustapa berkata menerusi GO Malaysia Fair, majlis itu berharap untuk mempromosikan pelbagai kepakaran doktor pakar dan teknologi terkini yang ada di pusat perubatan dan hospital swasta di Malaysia.

“Pelawat pameran ini boleh bercakap dengan wakil enam pusat perubatan atau hospital yang menyertainya seperti KPJ (Johor) dan KPJ (Puteri), Pusat Perubatan Subang Jaya, OPTIMAX, Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang dan Hospital Pakar Regency, selain daripada mendapatkan promosi terkini daripada pakej penjagaan kesihatan yang ada,” katanya.  

Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian GO Malaysia Fair berkata pameran pelancongan seperti ini bukan hanya membawa apa yang terbaik boleh ditawarkan negara menerusi pelancongan tetapi juga merapatkan hubungan antara rakyat. 

“Dalam dunia semasa yang dicirikan oleh persaingan geopolitik, kita rasa terpisah tetapi pelancongan mempunyai kuasa untuk membawa kita bersama kerana ia melangkaui sempadan, budaya dan bahasa,” katanya. 

Azfar berkata pada 2023, Malaysia merekodkan ketibaan 8.3 juta pelancong dari Singapura dan berharap untuk meningkatkan angka itu kepada 10 juta   tahun ini menerusi pendekatan progresif Tourism Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan