AM > BERITA

DAKWA KERAJAAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP KRITIKAN, SYED SADDIQ DIMINTA TIDAK HIPOKRIT - FAHMI

26/04/2024 07:40 PM

PADANG BESAR, 26 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, agar tidak bersikap hipokrit apabila mendakwa kononnya kerajaan hari ini mengambil tindakan terhadap pengkritiknya di media sosial.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Syed Saddiq berkemungkinan lupa, suatu masa dahulu terdapat seorang pemimpin yang mengambil tindakan terhadap media dan mereka yang tidak bersetuju dengan pemimpin tersebut.

“Mungkin dia (Syed Saddiq) mudah lupa, zaman dulu sebelum dia lahir ada seorang pemimpin ni, waktu itu tak ada kebebasan bersuara, orang yang berdemo kena pukul, wartawan yang menulis mungkin akhbarnya kena ‘gam’.

“Mereka yang tak bersetuju akan ditangkap dalam Ops Lalang. Tanya balik idola beliau waktu itu. Kalau nak bandingkan zaman dulu dengan zaman sekarang, macam langit dengan bumi, jadi, janganlah hipokrit,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar Utara, di sini hari ini.

Fahmi diminta mengulas kenyataan Syed Saddiq yang dibuat menerusi hantaran video di TikTok, semalam yang mendakwa kerajaan hari ini mengambil tindakan terhadap posting di media sosial dan menutup akaun media sosial pihak tertentu yang mengkritik kerajaan.

Fahmi berkata kerajaan tidak menghalang rakyat untuk mengkritik, khususnya melibatkan dasar yang dilaksanakan kerajaan dan memberitahu terdapat banyak kandungan di media sosial yang mengkritik kerajaan.

Namun, beliau menegaskan perkara-perkara yang berunsur fitnah adalah dilarang disebarkan berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Isunya contoh bila fitnah, bulan Ramadan lalu ada orang muat naik fitnah yang mengatakan Perdana Menteri sakit, Perdana Menteri ada penyakit sekian-sekian. Itu fitnah belaka dan perkara sebegitu dilarang berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, apa-apa tindakan yang diambil kerajaan adalah berlandaskan undang-undang dan tidak sesekali mengambil tindakan di luar lunas dan landasan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan