AM > BERITA

FAHMI ZIARAH VETERAN MEDIA DI PERLIS, SAMPAI SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

26/04/2024 06:21 PM

KANGAR, 26 April (Bernama) -- Dua bekas petugas media yang semakin uzur mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang meluangkan masa menziarahi mereka di kediaman masing-masing di sini hari ini.

Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Perlis mengambil kesempatan dalam lawatannya itu untuk menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas juruhebah Perlis FM Rahmah Ahmad, 72, dan bekas pemberita sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ramli Ismail, 74.

Rahmah yang bersara wajib pada 2010 diuji dengan masalah kesihatan dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sejak dua tahun lepas, selain mempunyai masalah saluran jantung tersumbat.

"Makcik rasa sangat terharu dan pada awalnya rasa tidak percaya apabila diberitahu menteri akan melawat makcik yang dah lama pencen ni. Makcik sangat menghargai keprihatinan ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Kuala Perlis, dekat sini.

Rahmah telah berkhidmat selama 30 tahun di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), termasuk di RTM Perlis dan Perlis FM sebelum bersara pada 2010.

Ramli pula yang merupakan bekas petugas sambilan di Bernama selama 24 tahun sejak 1997 berkata beliau sudah tidak secergas dahulu kerana mengalami tekanan darah tinggi.

Beliau yang juga pernah berkhidmat di Utusan Malaysia Biro Kedah dari 1972 sehingga 1995, kini tinggal berdua dengan isterinya Rokiah Nor, 70, di rumah mereka di Taman Guru Jaya di sini.

"Saya berharap rakan-rakan media terus menjalankan tugas dengan baik dalam dunia sekarang yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Perkembangan teknologi juga jauh ke hadapan sekarang, terus mantapkan kerjaya kita," katanya yang cukup berbangga kerana pernah bergelar pengamal media.

Fahmi yang ditemui selepas penyampaian sumbangan itu pada berkata program hari ini merupakan acara lazim yang dilakukan semasa lawatan kerja rasmi beliau.

"Kita harap dapat memberikan keceriaan kepada mereka yang terlibat dalam bidang media, sama ada yang sudah berpencen atau kurang sihat.

"Ia (sumbangan Kasih@HAWANA) juga diharap dapat mengeratkan silaturahim dan menunjukkan bahawa kita tidak pernah lupakan veteran media," katanya.

Sementara itu Fahmi berkata pihaknya akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk wartawan sambilan atau 'stringer' bagi menjaga kebajikan mereka seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

"Setakat ini kita dah selesai di sektor perfileman. Sektor seterusnya adalah untuk mereka yang terlibat dalam kewartawanan," katanya.

Rahmah dan Ramli adalah antara 57 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu dilaksanakan menerusi Bernama pada April tahun lepas.

Hadir sama mengiringi menteri adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang uzur atau memerlukan bantuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan