AM > BERITA

PROFESOR MALAYSIA TERIMA ANUGERAH DARIPADA UNIVERSITI HUNGARY DALAM BIDANG PERUBATAN SENAMAN

25/04/2024 08:00 PM

Daripada V. Sankara

BUDAPEST (Hungary), 25 April (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Asia College of Exercise Medicine (ACEM) Malaysia Prof Dr Muhammad Lee Chee Pheng menerima anugerah berprestij Doktor Honoris Causa daripada Universiti Sains Sukan Hungary (HUSS), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam meningkatkan kesihatan manusia dan kualiti hidup menerusi senaman.

Majlis anugerah yang diadakan sempena ulang tahun ke-100 HUSS itu berlangsung semasa Persidangan Sains Pelajar Antarabangsa (ISSC) ke-24 yang diadakan di universiti itu pada 24 hingga 26 April baru-baru ini.  

Dr Lee, rakyat Malaysia pertama menerima penghormatan itu, menzahirkan rasa terima kasihnya dengan berkata: "Saya amat berbesar hati dianugerahkan Doktor Honoris Causa ini kerana calon pilihan Universiti (HUSS) selama beberapa dekad ialah personaliti seperti Kenneth Cooper dari Amerika Syarikat yang mempelopori manfaat melakukan senaman aerobik dan saintis sukan Finland Paavo Komi."

Anak kelahiran Ipoh berusia 63 tahun itu yang menyempurnakan pengajian ijazah sarjana muda, Sarjana dan Doktor Falsafah Sains Sukan di HUSS, telah mempunyai ikatan rapat dengan universiti itu sejak 1994.

Beliau menekankan kepentingan perubatan senaman dalam meningkatkan kesihatan.

"Saya telah menghabiskan separuh daripada hidup saya di Hungary mempromosikan Perubatan Senaman untuk meningkatkan kesihatan manusia dan kualiti hidup menerusi dos senaman," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu daripada rektor HUSS Prof Dr Tamas Sterbenz pada Rabu. 

Majlis tersebut dihadiri barisan profesor terkemuka dari Kesatuan Eropah dan Malaysia yang membentangkan hasil penyelidikan masing-masing.

Turut hadir Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Hungary, Vanitha Gopalakrishnan. 

Usaha rintis Dr Lee dalam bidang itu termasuk mewujudkan klinik senaman bagi pengamal perubatan bertauliah dan ahli terapi senaman mempreskripsikan senaman sebagai intervensi atau rawatan utama kepada pesakit selama sekurang-kurangnya enam bulan.

"Rutin senaman kini boleh dipreskripsikan sebagai satu bentuk rawatan atau penyembuhan penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, obesiti dan kemurungan," jelas Dr Lee.

Beliau juga mengetengahkan peranan Malaysia dalam mencadangkan satu pelan global untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menurut Dr Lee, pihaknya mahu memastikan kematian berkaitan penyakit seperti diabetes dan masalah jantung yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, dapat dibendung.

"Kami telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini dan mereka telah menyokong kami dalam usaha berkenaan," katanya. 

HUSS, yang terkenal dengan dedikasi terhadap sains sukan dan pendidikan jasmani, mula beroperasi pada 1925 dan telah berkembang maju sejak itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan