AM > BERITA

TERDAPAT KEPERLUAN TAMBAH BILANGAN WANITA ISI JAWATAN KSU DAN KP - PM

25/04/2024 07:27 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat keperluan untuk menambah bilangan wanita bagi menjawat jawatan ketua setiausaha (KSU) kementerian dan ketua pengarah (KP).

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah pimpinan wanita sedia ada tidak mencerminkan jumlah keseluruhan 42 peratus golongan itu yang terlibat sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam ketika ini.

“Kalau ditanya, memang tidak cukup. Secara serius, saya memang ada bincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali), kita harus cari jalan supaya pimpinan KSU, KP (daripada golongan wanita) itu bertambah,” katanya dalam sesi soal jawab sempena Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini.

Sesi yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Mohd Zuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Presiden PPTD Datuk Seri Isham Ishak, Presiden Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali dan lebih 2,000 PTD.

Ketika ini, antara pimpinan wanita yang mengisi jawatan penting dalam negara ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, KP Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi manakala hanya dua yang memegang jawatan KSU iaitu Datuk Maziah Che Yusoff bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Datuk Seri Suriani Ahmad bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menjawab pertanyaan seorang PTD daripada Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai pendekatan untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada kumpulan itu, Anwar berkata masih terdapat ruang bagi memperbaiki aspek tatakelola dalam kalangan mereka.

“Pertamanya… mungkin ambil masa untuk baiki tatakelola sebab ada kelemahan tatakelola dari atas ke bawah. Kita kena terus ke depan,” katanya.

Perdana Menteri berkata pimpinan tertinggi seperti KSU dan KP juga perlu memberikan mesej yang jelas kepada pegawai bawahan untuk sentiasa menjaga tatakelola serta mengamalkan sikap tawaduk ketika menjalankan tugas.

Mengimbau pembentukan Jemaah Menteri pertama pada Disember 2022 dan amalan sikap tawaduk, Anwar berkata ketika itu, beliau meminta menteri yang baharu dilantik supaya mendengar pandangan KSU serta pegawai kanan kementerian terlebih dahulu sebelum memberikan apa-apa pandangan.

“Saya kata dua minggu pertama, menteri-menteri perlu diam. Jangan cakap soal dasar, jangan beri pandangan kepada KSU, dengar taklimat dan minta pegawai kanan beri pandangan mereka.

“…bila kita masuk dalam bidang baharu, perlu ada sikap tawaduk untuk dengar dan menilai kemudian baru kita beri pandangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan