AM > BERITA

FAHMI SAMPAIKAN SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA KEPADA LIMA BEKAS PETUGAS RTM

25/04/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada lima bekas petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membantu meringankan beban mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Mereka ialah bekas juruhebah Radio Bahagian Melayu, Halijah Buang, 74, yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan asma serta bekas juruhebah di TV1, Khatijah@Suraya Ismail, 74, yang diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit lutut.

Turut menerima sumbangan ialah bekas juruhebah di Stesen Radio Sabah (Bahagian Agama dan Dakwah) Radziah Md Isa, 74, yang mengalami masalah jantung dan bekas juruhebah Stesen Suara Malaysia-Indonesia, Dewi Mohammad Shaleh, 67, yang menghidap penyakit kencing manis serta masalah kolesterol.

Seorang lagi penerima ialah bekas juruhebah FM Stereo, Suara Malaysia dan Nasional FM Fatimah Mohamed, 85, yang berhadapan masalah sakit lutut, sendi dan urat serta buah pinggang. 

Sumbangan itu disampaikan Fahmi pada Majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri 1445H anjuran bersama Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan