AM > BERITA

HAMPIR 5 JUTA RAKYAT MALAYSIA BERISIKO HIDAP PRADIABETES, DIABETES -- LUKANISMAN

24/04/2024 07:32 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Hampir lima juta rakyat Malaysia berisiko menghidap pradiabetes dan diabetes ketika ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata diabetes tidak menunjukkan simptom dan kebanyakan individu tidak sedar menghidapinya selain berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.

“Beberapa tinjauan kesedaran ke atas 5,000 orang awam mendapati 76 peratus responden tidak pernah disaring. Sememangnya kita memang cuba untuk mengurangkan (pesakit) melalui saringan yang kita lakukan, disitulah kita dapat memberikan rawatan serta khidmat nasihat kepada mereka agar mengubah gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kempen Promosi Saringan, Diagnosis dan Pengurusan Pradiabetes untuk Mencegah Perkembangan Diabetes Melitus Jenis 2 anjuran program “Stand Against Prediabetes” (SAPd).

Lukanisman juga berkata penyakit itu merangkumi hampir 50 peratus kos rawatan iaitu hampir RM4 bilion yang digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui peruntukan tahunan kementerian itu.

 

Beliau berkata tahun ini juga, KKM memberikan fokus untuk melakukan pelbagai aktiviti gaya hidup seperti Bulan Malaysia Sihat pada September ini.

Bertemakan 'Check, Confirm, Consult and Change', atau 'Saring, Sahkan, Runding dan Ubah', kempen itu bertujuan mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan risiko peribadi mereka, menjalani ujian saringan dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan dalam menguruskan pradiabetes.

Sementara itu, Pengerusi SAPd Profesor Emeritus Dr Chan Siew Pheng berkata menjelang akhir Mei ini, SAPd akan berusaha mendapatkan kerjasama daripada 700 farmasi komuniti di seluruh negara untuk menyediakan ujian glukosa darah tusukan jari secara percuma, sumbangan Roche Diagnostics.

“Ujian tusukan jari tidak dapat mengesahkan sama ada anda menghidap pradiabetes atau tidak. Oleh itu, jika keputusan anda menunjukkan paras glukosa darah lebih tinggi daripada normal, anda perlu menjalani ujian darah yang betul di makmal, klinik atau hospital,” katanya.

Chan turut berkata dengan pengetahuan dan sokongan yang betul, individu boleh mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan mereka dan mengurangkan risiko menghidap diabetes.

“Perubahan yang kecil dalam gaya hidup boleh membawa kepada peningkatan yang ketara dalam kesihatan. SAPd menggalakkan orang ramai untuk menggunakan penyemak risiko dalam talian di laman web SAPd (https://standagainstprediabetes.my/),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan