AM > BERITA

HELIKOPTER AW139 PERTAMA KALI DIGUNAKAN UNTUK LINTAS HORMAT - MOHAMED KHALED

24/04/2024 06:02 PM

LUMUT, 23 April (Bernama) -- Helikopter Operasi Maritim (HOM) jenis AW139 yang terbabit dalam tragedi dua helikopter terhempas pagi tadi, pertama kali digunakan bagi acara lintas hormat sempena perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata helikopter Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah itu mula digunakan sejak 2021.

"Kita terbangkan khas daripada Kota Kinabalu untuk sertai raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM yang akan diadakan di sini.

"Manakala sebuah lagi helikopter jenis Fennec M502-6 berpangkalan di sini, beroperasi sejak 2003 dan telah menyertai acara lintas hormat bagi acara sama sebanyak tiga kali," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata helikopter HOM terbabit dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota.

"Helikopter HOM terhempas di kawasan Stadium TLDM manakala helikopter Fennec terhempas di kawasan kolam renang bersebelahan stadium," katanya.

Beliau berkata ketika kejadian sebanyak tujuh pesawat terlibat dalam raptai itu melibatkan empat helikopter Fennec, dua HOM dan sebuah Super Lynx.

Tragedi membabitkan dua pesawat yang berlaku pada 9.32 pagi tadi mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan