AM > BERITA

SULTAN SELANGOR BERKENAN SAMBUTAN HARI TLDM KE-90 BATAL, DIGANTI DENGAN BACAAN YASIN DAN TAHLIL

23/04/2024 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan Sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 yang sepatutnya dijadualkan pada Jumaat ini dibatalkan.

 Menurut Selangor Royal Office dalam catatan di laman Facebook hari ini, ia susulan nahas dua helikopter TLDM terhempas semasa raptai di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi tadi yang mengorbankan 10 nyawa.

"Sebaliknya, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan bertempat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut sebelum Solat Jumaat," menurut catatan itu.

Catatan itu turut memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin, selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, dijangka berangkat ke majlis berkenaan.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam tragedi yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan