AM > BERITA

NAHAS HELIKOPTER: KPWKM SEDIA BERI BANTUAN SOKONGAN PSIKOLOGI KEPADA KELUARGA MANGSA

24/04/2024 12:11 AM

SEREMBAN, 23 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan bantuan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ketika ini pihaknya khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan maklumat terperinci berkaitan keluarga mangsa daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bantuan diberikan.

“Kita (KPWKM) ucapkan takziah kepada keluarga 10 mangsa. Selepas maklumat dikumpulkan, kita akan menghantar kaunselor daripada kementerian untuk mendengar dan bantu keluarga berkenaan. 

“Kita tahu dalam kesukaran seperti ini, mereka mungkin memerlukan orang lain untuk membantu menenangkan dan memberi sokongan kepada mereka, kita akan sentiasa dan boleh membantu keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@Seremban di sini hari ini.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan