AM > BERITA

DUA HELIKOPTER TERHEMPAS DI LUMUT, 10 TERKORBAN - TLDM

23/04/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sepuluh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan terkorban dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi ini. 

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut menerusi kenyataan memaklumkan insiden pada 9.32 pagi itu melibatkan 10 kru masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

Kenyataan itu memaklumkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-dua pesawat berkenaan terjunam.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan