AM > BERITA

PERDA KOMITED RAPAT KESENJANGAN PENCAPAIAN BIDANG STEM, BI PELAJAR

22/04/2024 06:21 PM

GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) komited untuk terus merapatkan kesenjangan dalam pencapaian akademik terutamanya melibatkan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di kawasan bandar dan kawasan luar bandar.

Pengerusinya Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata PERDA juga akan memastikan peluang dan akses kepada pendidikan STEM secara praktikal diwujudkan untuk pelajar di luar bandar menerusi penganjuran program "Mighty STEM 2024".

"Pihak PERDA akan meneruskan program ini untuk tahun ini dan kami akan memastikan lebih banyak kebaikan boleh dibawa ke seluruh Pulau Pinang.

"Kami berharap pelajar di kawasan luar bandar dan terdiri daripada golongan B40 mendapat pendedahan tentang kepentingan STEM untuk memastikan mereka bersedia dalam sektor perindustrian di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Tahun 2023 dan Peluncuran Program Mighty STEM 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata antara inisiatif di bawah program itu termasuk menyediakan kelas tuisyen percuma untuk pelajar oleh pihak PERDA.

Shaik Hussein berkata pembangunan perindustrian dilihat semakin rancak dan Pulau Pinang kini dikenali sebagai satu daripada sebuah hab perindustrian yang terpenting di dalam negara. 

Pengurus Besar PERDA Mohd Asri Baharum berkata tajaan program pendidikan berkenaan bermula sejak 2006 hingga hari ini melalui Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) bersama agensi penaja yang lain seperti Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang dan Zakat Pulau Pinang dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. 

Beliau berkata pada tahun ini, PERDA telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meneruskan program peningkatan akademik dan galakan STEM kepada pelajar B40 di kawasan luar bandar. 

"Pada 2023, PERDA telah diperuntukkan sebanyak RM1.12 juta oleh KKDW bagi melaksanakan program-program peningkatan akademik dan galakan STEM iaitu melibatkan 71 sekolah rendah dan menengah di bawah tajaan PERDA. 

"Secara keseluruhannya pada 2023, sekolah-sekolah berkenaan telah terlibat dalam 40 siri program yang telah dilaksanakan bagi tempoh ini melibatkan seramai 2,761 murid sekolah rendah dan 2,901 pelajar sekolah menengah," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan