AM > BERITA

MYMHI’23 UKUR TAHAP KESIHATAN MENTAL BELIA - KBS

22/04/2024 11:30 AM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) yang merupakan indeks kesihatan mental pertama di Malaysia, dilancarkan hari ini bagi mengukur tahap kesihatan mental belia berumur antara 15 hingga 30 tahun.

Inisiatif diterajui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dengan sokongan daripada pihak berkepentingan berkaitan, dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, di sini hari ini.

KBS dalam kenyataan sempena pelancaran MyMHI’23 memaklumkan, inisiatif berkenaan merangkumi tujuh domain iaitu gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan, dan minda sihat, serta disokong oleh 28 indikator.

“Secara keseluruhannya, MyMHI’23 yang melibatkan 5,867 responden ini, menunjukkan kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana memuaskan dengan skor 71.91.

“Domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi (88.51) iaitu berada pada tahap memuaskan, manakala domain persekitaran mencatatkan skor terendah (65.45), iaitu berada pada tahap sederhana memuaskan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan KBS memaklumkan antara intervensi yang telah dikenal pasti untuk meningkatkan kesihatan mental belia adalah dengan mewujudkan ruang kediaman yang tidak terlalu sesak dan dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi, sekali gus memupuk persekitaran yang bebas daripada tekanan.

Intervensi lain ialah meningkatkan ketercapaian belia kepada perkhidmatan kesihatan mental; mempromosikan gaya hidup sihat yang meliputi penyediaan makanan sihat dan pelaksanaan aktiviti fizikal; dan meningkatkan daya tahan melalui kesedaran dan kefahaman yang jelas mengenai kesihatan mental bagi mengelakkan sterotaip.

Selain itu, intervensi dikenal pasti ialah memperkasa penglibatan belia dalam persatuan dan aktiviti kesukarelawanan; dan memperkasa peranan ibu bapa serta penjaga melalui penguasaan kemahiran literasi kesihatan mental dan kemahiran keibubapaan yang positif.

KBS memaklumkan usaha bagi mengkaji dan meningkatkan kesihatan mental belia Malaysia, selari dengan Strategi 1, Teras 3 Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030), iaitu Meningkatkan Kesihatan Mental, Kecergasan Fizikal Dan Kecerdasan Spiritual belia.

“Diharapkan agar semua pihak berkepentingan dapat memberi kerjasama dan sokongan kepada KBS dan Kementerian Kesihatan, dalam memperjuangkan isu kesihatan mental belia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan