AM > BERITA

KKM KENAL PASTI MODUS OPERANDI PENJAJA MAKANAN WARGA ASING, PERKETAT PEMANTAUAN

21/04/2024 06:15 PM

KUALA SELANGOR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti modus operandi penjaja makanan warga asing di negara ini dan akan memperketat pemantauan bagi menangani aktiviti itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata justeru, pasukan penguatkuasaan KKM perlu lebih bertaktikal dalam melaksanakan tindakan membanteras penjualan produk yang diragui tahap kebersihannya oleh penjaja warga asing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Kuala Selangor di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan KKM berhubung video tular mengenai aktiviti jualan makanan ala 'street food' dari negara India yang dipercayai beroperasi berhampiran Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dan ‘dikerumuni’ warga asing.

Penularan video berdurasi 23 saat itu mengundang reaksi kurang senang pengguna media sosial terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan yang dilihat seolah-olah terlepas pandang aktiviti penjaja warga asing terbabit yang didakwa telah lama beroperasi.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti luar bilik darjah yang dijalankan di sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.  

Beliau berkata insiden seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa di Negeri Sembilan pada 19 April lepas menuntut agar SOP lebih tuntas diwujudkan untuk dijadikan panduan oleh semua pihak pada masa akan datang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan