AM > BERITA

RM1.4 JUTA KOMPAUN KESALAHAN MEROKOK DIKELUARKAN SEPANJANG MAC - KKM

20/04/2024 01:29 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 5,549 kompaun dengan nilai tawaran berjumlah RM1.4 juta susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata jumlah kompaun itu merupakan hasil aktiviti penguatkuasaan kementerian terhadap 18,178 premis yang dilawati sepanjang Mac lepas dengan sejumlah 8,926 notis kesalahan dikeluarkan.

"Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, sebanyak 3,816 tawaran kompaun bernilai RM1.91 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata 642 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan sebanyak 95 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM180,600.

Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 33,473 premis makanan telah diperiksa.

"Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ialah 124 iaitu 0.37 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa," katanya.

Beliau berkata tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan