AM

PENDIGITALAN PENJAGAAN KESIHATAN, PEMBAHARUAN PEMBIAYAAN JADI KEUTAMAAN KKM - DZULKEFLY

19/04/2024 07:55 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pendigitalan penjagaan kesihatan, bersama-sama dengan pembaharuan pembiayaan kekal menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan mengukuhkan dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian komited untuk memupuk inovasi dalam penjagaan kesihatan, dan mewujudkan satu laluan untuk memudahkan industri kesihatan dalam menghasilkan teknologi bernilai tinggi dalam pendekatan kolaboratif dengan pelbagai kementerian, yang kini dikendalikan oleh Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS).

Beliau berkata selain Rekod Perubatan Elektronik, terdapat banyak potensi produk dan perkhidmatan digital inovatif seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mentadbir penjadualan petugas dan pesakit, menguruskan penggunaan katil dan aliran pesakit, malah menyokong pembuatan keputusan operasi mereka.

"Bagi pihak pengguna, banyak penyedia perkhidmatan di negara – termasuk kemudahan kerajaan – telah menggalakkan pesakit untuk mengesan penyakit mereka menggunakan peranti perubatan khusus, sambil menawarkan pemantauan pesakit dari jauh, telekesihatan dan perkhidmatan perundingan maya.

"Selain peranti perubatan dan pendigitalan, kementerian juga menyasarkan untuk terus menggalakkan dan membangunkan industri farmaseutikal," katanya dalam ucapan ketika merasmikan pembukaan 24th Southeast Asian Healthcare and Pharma Show (SEACare) 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Dzulkefly berkata pengeluaran farmaseutikal halal bukan sahaja untuk menampung keperluan tempatan, tetapi juga membuka pintu kepada pasaran global yang berkembang, berpotensi memberi perkhidmatan kepada 1.9 bilion pengguna Muslim di seluruh dunia.

Mengulas mengenai pameran yang dianjurkan oleh Qube Integrated (M) Sdn Bhd itu, Dzulkefly berkata SEACare berperanan sebagai platform berharga, memupuk pertukaran pengetahuan dan kemajuan industri sambil membolehkan pihak berkepentingan meneroka peluang inovatif yang merentasi sempadan.

"Kementerian Kesihatan berbangga menyaksikan SEACare semakin penting dan menjadi lebih signifikan kepada industri," katanya.

Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo dalam ucapannya berkata SEACare yang memudahkan pertemuan dan peluang rangkaian antara pempamer Malaysia dan pembeli asing, terbukti sangat membuahkan hasil.

"Sukacita saya maklumkan bahawa interaksi ini telah berjaya memupuk kerjasama perniagaan, menjana potensi jualan kira-kira RM30 juta pada hari pertama acara tiga hari itu yang bermula semalam.

"Hasil ini ialah bukti keberkesanan padanan strategik serta minat dan keyakinan yang ada pada pembeli antarabangsa terhadap produk dan inovasi Malaysia yang dipamerkan pada SEACare 2024. Saya yakin bahawa kita dapat melakar kejayaan pada akhir acara ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan